BigPay ialah sebuah platform dompet digital dan kad prabayar yang memudahkan pembayaran secara nirtunai di luar negara dengan mudah dan pada kadar yang tidak begitu mencekik darah.
Terkini, BigPay telah mengumumkan bahawa platform dompet digital mereka kini hadir dengan fungsi untuk menghantar wang secara terus ke akaun-akaun bank di 38 buah negara di United Kingdom dan juga Eropah.
Sebelum ini, ciri tersebut diperkenalkan untuk penghantaran wang dari dan ke negara-negara seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, China, Vietnam, India, Bangladesh, Nepal dan Australia. Dengan pengumuman ini, ciri tersebut telah dilanjutkan ke sejumlah besar negara di Eropah termasuklah England, Perancis, Jerman, Belgium, Sepanyol dan sebagainya.
Untuk menggunakan ciri ini, pengguna hanya perlu memasukkan nilai wang yang mahu dihantar, pilih negara dan masukkan butiran akaun bank kedalam aplikasi BigPay dimana aplikasi tersebut akan menguruskan langkah-langkah seterusnya untuk anda.
Untuk masa terdekat ini, BigPay tidak akan mengenakan bayaran untuk penghantaran wang ini untuk membolehkan para pelanggan mereka untuk cuba ciri yang dikemaskini ini.