Cari @ Amanz

Pemilik kriptowang nampaknya semakin perlu berjaga-jaga dengan pelaburan matawang digital mereka kerana banyak insiden dimana penggodam mencuri kriptowang daripada dompet-dompet kripto.

Baru-baru ini, Solana, salah satu platform rantaian blok terkemuka telah mengesahkan bahawa sistem rantaian blok mereka telah digodam, dan ini mengakibatkan 7767 dompet kriptowang mereka dikeringkan oleh penggodam.

Pihak Solana dilihat bekerjasama dengan sejumlah pakar forensik digital untuk mengenalpasti bagaimana godaman tersebut berlaku, dan nampaknya mereka yang menggunakan dompet kripto Slope dan Phantom telah terkesan dengan teruk oleh godaman tersebut.

Siasatan lanjut mengenai isu tersebut telah mendapati bahawa alamat-alamat dompet kripto tersebut telah dicipta, diimport ataupun digunakan bersama aplikasi Slope, menjadikannya salah satu vektor serangan penggodam-penggodam ini.

Setakat ini, ia dilaporkan bahawa pengguna rantaian blok Solana telah kehilangan kriptowang SOL bernilai $4.5 juta. Bagaimana godaman ini berlaku masih belum disahkan buat masa ini, tetapi seperti yang dilaporkan, Solana sedang berusaha untuk mendapatkan jawapan untuk para pelanggan mereka.

Solana juga mengesahkan bahawa isu godaman ini mempengaruhi aplikasi dompet Slope dan Phantom, dan mereka yang menggunakan dompet kripto fizikal tidak terkesan oleh godaman ini. Walaubagaimanapun, Solana mengatakan bahawa pengguna harus menukar kata laluan sandaran (recovery phrase) mereka untuk dompet-dompet fizikal ini sebagai langkah berjaga-jaga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd