Pada awal tahun ini, ASUS telah memperlihatkan sejumlah besar siri komputer riba yang dibangunkan untuk tujuan produktiviti dan gaming yang hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz. Selepas sekian lama menunggu, ASUS akhirnya memperlihatkan komputer riba dengan paparan boleh-lipat mereka, ASUS Zenbook 17 Fold OLED.

Tablet Zenbook 17 Fold OLED ini merupakan versi komersil tablet konsep Project Precog mereka yang merupakan sebuah projek ujian untuk melihat samada ASUS mampu membangunkan sebuah tablet boleh lipat ataupun tidak.
Pada saiz penuh, tablet ini hadir dengan paparan OLED bersaiz 17.3 inci dengan resolusi QHD 2560 x 1920 pixel dan boleh memperliihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan kadar segar semula 90Hz dan hadir dengan sokongan HDR 500.

Dari segi spesifikasi dalaman, ASUS dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Intel Alder Lake-H dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan sebesar 1TB. Sayangnya dari segi penawaran I/O, ZenBook 17 Fold OLED ini hanya hadir dengan satu palam Thunderbolt 4 yang juga digunakan sebagai palam pengecasan dan sebuah palam audio 3.5mm.
Paparan tablet ini boleh dilipat dan diletakkan secara meninggi, memberikan pengguna sebuah panel bersaiz 12.5 inci dengan resolusi Full HD. Tablet ini juga didatangkan dengan sebuah papan kekunci Bluetooth yang juga boleh diletakkan di atas bahagian “bawah” tablet yang terlipat itu jika anda lebih biasa menggunakan papan kekunci fizikal berbanding maya.

Terkini, pihak ASUS telah mengesahkan bahawa mereka akan memperkenalkan tablet boleh lipat ini secara rasmi melalui acara penstriman pada 31 Ogos ini. Ia dijangka bahawa ASUS Zenbook 17 Fold OLED ini akan memasuki pasaran tempatan juga tidak lama selepas itu.