Cari @ Amanz

Fitbit merupakan jenama milik Google yang memfokuskan kepada penawaran peranti kecergasan dan kesihatan. Terbaru, timbul desas-desus mengatakan mereka dalam perancangan untuk hadir dengan beberapa produk baharu.

Ianya merangkumi Fitbit Sense 2 dan Fitbit Versa 4 yang akan berkongsi reka bentuk yang sama. Sementara itu, Fitbit Inpire 3 pula mempunyai skrin memanjang yang merangkumi keseluruhan paparan.

Kita mulakan dengan Fitbit Sense 2, ia dilihat mempunyai reka bentuk yang sangat serupa dengan model Fitbit Sense asal. Paparan dari jenis melengkung dengan bingkai logam digunakan. Turut melengkapi peranti ini adalah satu butang fizikal pada sisi kanan dan tali jam berasaskan silikon.

Namun begitu, saiz skrin ini masih menjadi tanda tanya. Antara fungsi utama yang mungkin disokong kelak merangkumi pengesanan tahap tekanan, SpO2, penjejakan kadar denyutan jantung, kalis air 50 meter, sokongan pembantu suara dan sensor ECG. Harga jualan pula dijangka sekitar INR22,999 (~RM1289).

Seterusnya, Fitbit Versa 4 pula kelihatan serupa dengan Fitbit Sense 2. Skrin melengkung bersama satu butang fizikal yang dipadankan dengan tali sejenis silikon. Tali yang digunakan juga mempunyai lubang di belakang cangkuk bagi menyorokkan tali yang berlebihan. Tiada maklumat mengenai spesifikasi yang dikongsi buat masa ini, namun ia dijangka membawakan beberapa penambahbaikan berbanding model terdahulu. Bagaimanapun, sensor ECG besar kemungkinan tidak disertakan.

Akhir sekali adalah Fitbit Inspire 3. Ini merupakan rangkaian gelang tangan pintar yang dimuatkan dengan pelbagai fungsi dan ciri kecergasan pada harga mesra poket. Berbeza dengan sebelum ini, Inspire 3 menampilkan reka bentuk lebih mesra pengguna dan mudah digunakan. Melaluinya, ia menggunakan skrin memanjang yang merangkumi keseluruhan paparan dan terus disambungkan pada tali jam. Terdapat tiga pilihan warna yang mungkin tersedia seperti Yellow, Pink dan Black.

Tiada tarikh pelancaran khusus yang dikongsikan buat masa ini. Tetapi dengan ketirisan ini, kita mungkin akan dapat melihat pengenalannya tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd