OnePlus hari ini turut melancarkan OnePlus Nord N20 SE secara senyap. Tanpa sebarang pengumuman, peranti ini sudah mula dijual di laman AliExpress dengan sokongan penghantaran ke Malaysia.

OnePlus Nord N20 SE adalah sebuah peranti kelas pertengahan asas yang menggunakan skrin NTSC HD 6.56-inci, dijana dengan cip pemprosesan MediaTek Helio G35 dan dipadankan dengan memori 4GB RAM dan 64GB storan dalaman. Kamera peranti pula adalah 50+2 Megapixel dengan kamera swafoto 8MP.
Untuk bateri peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti 5000mAh dengan pengecasan 33W SuperVOOC. OnePlus Nord N20 SE turut menjalankan sistem operasi Oxygen OS 12.1 berasaskan Android 12 dengan banyak ciri dan fungsi daripada OnePlus seperti AOD Canvas 2.0 OnePlus Shelf, dan Worl Life Balance 2.0 disertakan.

Peranti ini menggunakan rekaan skrin rata, panel belakang rata dengan bonggol kamera segi empat serta dengan sisi yang rata. OnePlus menawarkan warna Celestial Black dengan kesan seakan langit malam dipenuhi bintang dan Blue Oasis warna cerun dengan kesan seakan berlian berkelipan di angkasa.

OnePlus Nord N20 SE adalah variasi Nord N20 dengan spesifikasi lebih rendah dan untuk penggunaan asas. Peranti ini sebenarnya adalah sebuah Oppo A57 4G yang dijenamakan semula. Di AliExpress peranti ini dijual pada harga sekitar RM900 dan mempunyai promosi pada harga sekitar RM700.
Peranti turut dijangka akan dijual di Malaysia secara rasmi, kerana ia sudah disenaraikan dalam SIRIM pada bulan lepas.