Cari @ Amanz

Samsung akan mengadakan acara pelancaran peranti dengan skrin boleh-lipat mereka tidak lama lagi. Antara peranti yang akan dilancarkan adalah Samsung Galaxy Z Fold4 dan Flip4. Bersama-sama dengannya adalah jam tangan pintar Wear OS baharu mereka iaitu siri Galaxy Watch5.

Dengan tarikh pelancaran semakin hampir ini, imej pengolokan dan beberapa spesifikasi penting jam ini tertiris ke arena web.

Samsung Galaxy Watch5

Model ini akan hadir dengan dua saiz, iaitu 40mm dan 44mm. Ia akan hadir dengan bateri 284mAh dan juga 410mAh. Bateri untuk dua jam ini dikatakan boleh bertahan sehingga 50 jam dengan sokongan pengecasan pantas 10W. Saiz skrin adalah 1.19-inci dan 1.36-inci daripada panel AMOLED dan jam-jam ini akan dijana dengan cip pemprosesan Samsung Exynos W920 yang sama digunakan pada jam sebelum ini. Skrin juga dikatakan akan menggunakan perlindungan kaca nilam.

Samsung Galaxy Watch5 Pro

Saiz jam ini adalah 45mm dengan bateri 590mAh yang dijamin bertahan sehingga 80 jam. Ia juga akan menyokong pengecasan pantas yang dikatakan boleh mencapai 45% dalam masa 30 minit. Galaxy Watch5 Pro akan hadir dengan skrin AMOLED bersaiz 1.36-inci dengan kaca nilam. Cip juga kekal sama iaitu Exynos W920 seperti jam sebelumnya. Tubuh versi Pro dikatakan akan menggunakan bahan binaan titanium.

Semua jam baharu Samsung akan kekal menyokong NFC untuk Samsung Pay, mempunyai GPS dan bergantung kepada model turut akan ada variasi dengan sokongan eSIM. Dalam imej untuk semua jam, jelas kelihatan ada penggunaan sensor baharu yang dikatakan mungkin untuk mengesan suhu tubuh pengguna di sampingan sensor untuk ECG, kadar oksigen dalam darah dan imbasan nadi.

Sumber turut mendedahkan harga jualan jam-jam ini. Galaxy Watch5 40mm akan dijual pada harga €299 (~RM1363), 44mm pada harga €329 (~RM1500) dan untuk versi Pro bersaiz 45mm pada harga €469 (~RM2139). Untuk versi LTE, setiap jam akan ada peningkatan harga tambahan €50 (~RM228). Sama-sama kita nantikan pelancaran rasmi jam ini tidak lama lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd