Meta Menumpaskan Sindiket Kumpulan Cytro Di Malaysia

Diterbitkan pada Ogos 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Meta, ibu syarikat Facebook, Instagram dan WhatsApp baru-baru ini telah mengeluarkan laporan Quarterly Adversarial Threat Report yang memperlihatkan langkah-langkah yang telah diambil syarikat tersebut untuk memastikan bahawa platform media sosial mereka selamat digunakan oleh para pengguna mereka tidak kira umur dan juga fahaman masing-masing.

Dalam laporan tersebut, Meta memperlihatkan satu bahagian khusus untuk Malaysia, yang dilihat sebagai salah sebuah negara yang mempunyai kumpulan cybertrooper ataupun troll farm.

Troll farm di Malaysia ini menggunakan akaun-akaun palsu untuk memanipulasi maklumat yang kemudiannya akan disebarkan oleh orang ramai yang percaya akan maklumat palsu tersebut. Di Facebook, rangkaian troll farm ini dilihat mengurus sejumlah besar laman-laman Pages dan Group yang diikuti sekitar 430 ribu pengguna. Kumpulan-kumpulan ini dilihat menyokong kerajaan semasa, sambil mengkritik pihak pembangkang.

Meta melaporkan bahawa mereka telah menutup 596 akaun Facebook, 180 Page, 11 Group dan 72 akaun Instagram, dan kebanyakan akaun ini ditangkap oleh algoritma Facebook dimana akaun-akaun tersebut tidak mempunyai maklumat lengkap, dan menggunakan gambar yang dicuri daripada akaun-akaun lain.

Lebih mengejutkan lagi, penyelidikan lanjut yang dilakukan oleh pihak Clemson University di South Carolina, Amerika Syarikat mendapati bahawa ladang-ladang troll ini juga mempunyai hubungan dengan Polis Diraja Malaysia, selepas mengesyaki kemungkinan bahawa ia berasal dari China.

Facebook turut menjejak aktiviti-aktiviti kumpulan ini dan mengatakan bahawa mereka sangat aktif khususnya di siang hari pada hari minggu, dan dilihat berehat seketika sewaktu makan tengahari dan waktu malam.

Kumpulan-kumpulan ini juga dilaporkan telah membayar sekitar $6000 (~RM27,000) untuk mengiklankan Pages dan Groups mereka di platform-platform Facebook dan Instagram.

komen


© Amanz / 2022 Kami