Salah satu pengeluar yang sedia mempunyai penawaran peranti boleh-pakai tersendiri adalah Oppo. Beberapa variasi telah dilancarkan setakat ini yang terdiri dengan Oppo Watch, Oppo Watch Free, Oppo Watch 2 dan Oppo Watch 2 ECG. Seperkara yang kami perasan, kesemua peranti boleh-pakai ini menampilkan reka bentuk dan kemasan yang hampir serupa di antara satu sama lain.
Namun mungkin sedikit berbeza untuk model kemas kini mereka iaitu Oppo Watch 3. Reka bentuknya telah diperlihatkan menerusi beberapa imej tular dengan binaan yang boleh dikatakan lebih premium. Skrin dari jenis melengkung dengan bingkai daripada logam dan tali berasaskan kulit digunakan padanya.
Sebagai pilihan, mungkin terdapat juga pilihan tali sejenis silikon yang bakal ditawarkan kelak. Turut melengkapinya, tombol berputar dan butang fizikal khusus pada sisi kanan yang mungkin berfungsi untuk kawalan lebih menyeluruh pada jam tangan.


Oppo Watch 3 dijangka hadir dengan skrin AMOLED sebesar 1.91-inci berteknologi LTPO. Cip Snapdragon W5 Gen 1 dan Apollo 4 Plus turut digunakan, seterusnya antara ciri utama yang bakal disokong termasuklah ECG, NFC, e-SIM dan kalis air 5ATM. Kapasiti bateri masih tidak diketahui, namun ia dijangka mampu beroperasi sehingga 15 hari dengan sekali pengecasan penuh.
- Sumber
- Sumber – Weibo