Pelancaran Cip Intel Meteor Lake Akan Ditunda Ke Penghujung 2023 Kerana Pembatalan Kontrak Bersama TSMC

Diterbitkan pada Ogos 5, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel Meteor Lake merupakan siri cip pemprosesan Intel yang ke-14 dan sebelum ini dijangka akan ditawarkan bermula sekitar suku ketiga tahun 2023. Walaupun begitu, masalah dengan TSMC dijangka akan menyebabkan penawarannya ditunda sedikit.

Laporan-laporan mengatakan bahawa ini adalah kerana Intel telah membatalkan penggunaan perkhidmatan TSMC untuk membina cip pemprosesan grafik untuk CPU tersebut. Intel merupakan salah satu pelanggan terbesar TSMC untuk penggunaan proses 3nm yang sedang dibangunkan sebelum ini.

TSMC secara lazimnya akan membangunkan teknologi binaan cip semikonduktor baru sejajar dengan jumlah permintaan besar daripada syarikat-syarikat teknologi yang lain, dan dengan pembatalan kontrak ini, ia dijangka bahawa TSMC akan perlu mencari pelanggan baru untuk menggantikan Intel.

Apple masih lagi pelanggan terbesar mereka yang akan menggunakan proses 3nm ini pada tahun hadapan, tetapi syarikat-syarikat seperti AMD, MediaTek dan Qualcomm dilihat hanya akan menggunakan perkhidmatan binaan 3nm menjelang tahun 2024.

Intel membatalkan kontrak tersebut kerana mereka dijangka akan menyiapkan kilang Intel 4 mereka tidak lama lagi, yang akan digunakan untuk membangunkan kedua-dua cip grafik dan juga cip pemprosesan Intel Meteor Lake.

Terdapat kebarangkalian bahawa Intel masih akan menggunakan khidmat TSMC sebagai sandaran, tetapi perkara ini merupakan kemungkinan kecil sahaja kerana kilang pembuatan cip Intel 4 merupakan salah satu projek terbesar Intel untuk melestarikan pembangunkan komponen mereka.

komen


© Amanz / 2022 Kami