Cari @ Amanz

Pelancaran untuk Moto X30 Pro dan Moto Razr 2022 sepatutnya berlangsung pada 2 Ogos lalu telah dibatalkan secara tiba-tiba atas alasan yang tidak diketahui. Terdapat dakwaan kononnya ia mempunyai kaitan dengan situasi tegang antara China dan Taiwan selepas timbul laporan setiausaha Amerika Syarikat Nancy Pelosi akan melawat Taiwan.

Kini timbul pula ura-ura baharu yang mengatakan pelancaran untuk peranti tersebut mungkin diadakan pada 11 Ogos 2022. Dalam masa sama, perkongsian terkini oleh Ketua Lenovo China, Chen Jin di Weibo juga memberi isyarat seakan mengesahkan ura-ura tersebut. Melaluinya, ia memperlihatkan satu imej acah baharu untuk sebuah Moto Rarz 2022 yang menunjukkan masa dan tarikh.

Jika dilihat dengan teliti, nombor 11 yang dipaparkan pada bahagian tarikh, yang mana besar kemungkinan menunjukkan tarikh pelancaran baharu untuk peranti. Seterusnya, jarum jam yang menunjukkan pukul 2 pula adalah masa untuk ianya berlangsung. Tidak ketinggalan, Moto X30 Pro juga dijangka akan diperkenalkan pada tarikh berkenaan.

Sungguhpun begitu, maklumat yang dikongsi masih di peringkat ura-ura, malahan pihak Lenovo juga masih belum mengeluarkan sebarang perkongsian lanjut berkaitan spekulasi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd