Cari @ Amanz

Nothing Phone (1) tidak dinafikan adalah sebuah telefon pintar yang unik. Sepanjang bekerja di Amanz, acara pelancaran Nothing adalah yang paling aneh dan berbeza pernah saya hadiri. Peranti ini memang cuba menjadi sesuatu yang berbeza untuk menarik perhatian orang ramai. Jualan pertama juga dijual melalui kedai menjual pakaian, bukan kedai gajet. Jelas sekali mereka cuba melakukan sesuatu yang berlainan dari norma biasa untuk menjadikan mereka lain dari yang lain.

Menurut Carl Pei, pengasas jenama Nothing – beliau ingin mengembalikan perasaan teruja ketika sesuatu peranti dilancarkan dan memberi pengguna rasa seronok menggunakan sebuah peranti yang asas.

Selepas beberapa minggu menggunakan peranti ini, saya akui ia memberi satu pengalaman penggunaan yang berbeza. Tetapi adakah hype pemasaran cukup untuk meyakinkan anda membeli peranti ini? Adakah lampu Glyph sekadar gimik atau benar-benar mempunyai fungsi? Dalam artikel ulasan ini akan saya kongsi kepada anda apa yang saya rasakan mengenai peranti ini dan adakah ia berbaloi untuk dimiliki.


Spesifikasi Dan Rekaan

Nothing Phone (1)
Skrin6.55″ OLED, 1080 x 2400
(~402 ppi), HDR10+, 120Hz
PemprosesSnapdragon 778G+ (6nm)
Cip1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8/12 GB LPDDR5
Muatan Dalaman256 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP, Sudut Lebar f/1.8, OIS/EIS
50MP Sudut Ultra Lebar 114°, f/2.2, EIS
Extreme Night Mode, Night Video,
Expert Mode, Bokeh, HDR
Kamera Swafoto16MP, f/2.45, EIS
Bateri4500 mAh
33W Berwayar PD 3.0
15W Nirwayar
5W Nirwayar Berbalik
SIM/TelefoniDwi SIM nano 5G
VoLTE
NFCYa
AudioTiada bicu audio
Pembesar suara stereo
Kalis AirIP53
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)

Nothing Phone (1) adalah antara telefon pintar yang paling cantik dan seksi yang pernah saya lihat. Saya amat gemar melihat peranti ini di depan mata saya kerana ia amat berbeza dengan peranti lain dipasaran. Sudah semestinya panel belakang lutsinarnya yang paling menyerlah tetapi skrin hadapan peranti ini pada saya antara yang terbaik pernah saya lihat pada peranti Android. Bezel yang digunakan adalah seakan iPhone dengan ianya sama tebal pada keempat-empat sisi.

Bercakap mengenai iPhone, peranti ini mempunyai saiz lebih kurang sama dengan iPhone 13 Pro Max. Malah apabila saya memasukkan Phone (1) ke dalam kerangka rasmi iPhone 13 Pro, ia dapat masuk dengan kemas cuma butang kuasa, laras suara dan suis sisa sahaja tidak selari. Ini bukanlah perkara yang saya lihat sebagai negatif kerana rekaan iPhone 13 Pro adalah antara yang paling kemas dan sedap digunakan di pasaran sekarang.

Perbezaannya adalah Phone (1) adalah lebih ringan berbanding sebuah iPhone. Penggunaan panel lutsinar di belakang pula membuatkan ia terasa agak rompong di dalam tangan. Memegang peranti ini untuk kegunaan harian walau bagaimanapun adalah sangat menarik dan selesa. Ia tidak licin dan butang semua mudah dicapai dan sedap ditekan. Terasa sungguh ergonomik bagi mereka yang mencari peranti yang mudah digunakan sebelah tangan.

Kekurangan di sini adalah peranti ini tiada suis lungsur seperti iPhone atau OnePlus untuk mengawal nada dering sedangkan ini adalah ciri yang dibanggakan oleh Carl Pei suatu ketika dahulu. Tetapi ini di luar bidang kuasa Nothing memandangkan harta intelek rekaan butang lungsur sisi ini adalah milik OnePlus. Dengan Carl Pei ingin membentuk imej tersendiri dengan syarikat baharu, ciri paling sinonim dengan beliau semasa di OnePlus perlu dilupakan.

Penggunaan Dan Perisian

Skrin yang cantik lagi seksi ini menggunakan panel OLED bersaiz 6.55-inci. Ia hanya mempunyai resolusi FHD+, tetapi paparan HDR10+ masih terhad di YouTube dan masih tidak boleh digunakan pada Netflix. Selepas lebih seminggu dipasarkan, sedikit mengecewakan sokongan rasmi HDR Netflix belum diberikan. Sebagai perbandingan OnePlus Nord 10T menyokongnya sejak hari pertama lagi.

Walaupun begitu ia masih kelihatan cantik, mempunyai warna yang terang dan memberikan pengalaman menonton video yang memuaskan. Unit yang saya terima tiada ada masalah tunaskrin hijau yang berlaku pada ramai pelanggan awal tetapi pelanggan perlu menyedari isu ini wujud dan amat bergantung kepada nasib.

Kadar segar semula 120Hz juga amat pantas dan lancar walaupun bukan dari keluarga LTPO. Untuk peranti kelas pertengahan saya faham kenapa Nothing tidak menggunakan panel LTPO bagi mengurangkan kos. Pengguna perlu memilih menggunakan mod 120Hz atau 60Hz sahaja pada Phone (1).

Perisian Nothing OS cukup bijak untuk memastikan kadar segar semula berjalan dengan baik. Tatalan pada peranti terasa lancar dan baik, jarang ada masalah sistem tergendala atau lengah masa.

Nothing OS

Bercakap mengenai perisian, Nothing OS adalah sistem operasi yang digunakan pada peranti ini. Tidak banyak yang ingin saya kongsi pada ulasan, kerana ia lebih kurang sama sahaja penggunaannya sama seperti pandang pertama dahulu. Cuma di dalam ulasan ini saya akan nyatakan apa yang baik dan tidak mengenai Nothing OS.

Nothing OS dibina berasaskan Android 12 dan menggunakan konsep Android asli. Oleh itu ia menyebabkan ciri tambahan terasa kosong jika dibandingkan dengan pelancar One UI, MIUI dan ColoroS. Tetapi saya menyukai rekaan Nothing OS yang ringkas kerana ia terasa ringan dan memberi pengalaman penggunaan yang tidak menimbulkan sebarang masalah. Penambahan ciri bukan Android asli pada pelancar lain menyebabkan saiz RAM yang lebih besar diperlukan dan peranti tidak begitu lancar.

Namun begitu ini tidak bermakna Nothing OS adalah ringkas seperti AOSP. Terdapat ciri Game Mode, kawalan kereta Tesla, widget NFT, dan paling menarik – talam notifikasi tersuai untuk akses mudah pada akses sambungan rangkaian dan sambungan aksesori audio.

Untuk sambungan aksesori audio Bluetooth, Nothing ingin menawarkan satu ekosistem yang terbuka di mana mana-mana peranti mesra digunakan bersama Nothing OS. Tetapi peringkat awal ini masih tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Nothing OS sangat ringkas sehingga tiada sokongan Nothing Ear (1) secara terbina. Pemilik Ear (1) perlu memuat turun aplikasi dari Play Store untuk menggunakan TWS ini dengan lebih baik.

Isu besar yang saya hadapi adalah pada aplikasi kamera yang perlahan serta skrin kunci yang kerap bermasalah. Pengimbas cap jari pada bawah skrin laju mengesan apabila berfungsi dengan baik. Tetapi kadang kala ikon cap jari pada zon imbasan tidak menyala sehingga menyebabkan kata laluan perlu dimasukkan. Kadangkala pula sedang jari diimbas, skrin hampir dinyahkunci tetapi terkunci dengan sendiri kembali tanpa sebab. Sistem Imbasan wajah adalah gak pantas, tetapi saya tidak merasakan ia cukup selamat kerana bukan dari jenis 3D.

Nothing OS adalah sistem operasi terpantas dan terbaik saya pernah gunakan selepas Pixel serta Oxygen OS (versi lama). Sepanjang tempoh ulasan selama beberapa minggu, saya menerima dua kemas kini yang membaiki beberapa masalah awal yang dilaporkan oleh pengguna.

Nothing menjanjikan kemas kini 3 tahun untuk versi Android dan 4 tahun untuk kemas kini sekuriti. Ini masih tidak sebaik yang ditawarkan oleh Samsung (sehingga 5 tahun) tetapi adalah setanding dengan pengeluar lain. Adakah Nothing akan memenuhi janji ini? Hanya masa boleh menentukan kerana jika anda ingat HTC dan OnePlus dahulu menjanjikan kemas kini yang pantas di peringkat awal sebelum kemudiannya dilupakan.

Glyph Interface – Gimik Atau Fungsi Baik?

Lampu Glyph pada panel belakang peranti ini memang menarik untuk digunakan. Tetapi untuk penggunaan harian, percaya atau tidak ia cukup berfungsi dan bukan sekadar gimik. Sepanjang tempoh ulasan ramai yang menegur saya dan bertanya apakah telefon yang digunakan kerana kerdipan lampu Glyph mampu menarik perhatian ramai.

Masalah Glyph ini adalah, ia memaksa saya untuk belajar kembali menggunakan telefon pintar. Saya perlu hafal setiap jenis lampu mewakili kenalan yang mana dan aplikasi apa, jika peranti dalam keadaan bisu dan hanya menyala. Jika ada bunyi ia sedikit membantu, tetapi nada dering yang diberikan pada peranti ini walaupun saya suka, menimbulkan kemarahan rakan sepejabat kerana bunyinya seakan radio rosak sedang mencari stesen. Bunyi yang memang diakui unik tetapi pada waktu yang sama boleh mengganggu konsentrasi.

Saya juga perlu membiasakan diri dengan meletakkan peranti dengan skrin ke bawah untuk memastikan saya boleh melihat Glyph menyalah. Setelah bertahu lamanya meletakkan peranti di atas meja dengan skrin ke atas, untuk mengubah tabiat ini adalah agak sukar.

Namn selepas lebih dua minggu saya sudah biasa meletakkan Phone (1) dengan skrin ke bawah. Untuk menjawab persoalan orang ramai, adakah Glyph memakan bateri? Selepas mengujinya sendiri saya tidak melihat perbezaan ketara pada hayat bateri sama ada ia dihidupkan atau tidak.

Penanda Aras

Peranti yang saya uji adalah versi 8GB RAM dengan storan 256GB dengan cip Snapdragon 778G+. Dengan model asas ini saya sudah menerima pengalaman penggunaan yang memuaskan. Ini adalah kerana Nothing OS yang ringkas dan ringan yang tidak mempunyai tema berat dan aplikasi sistem yang berjalan di latar. Selepas beberapa minggu menggunakan peranti ini, saya masih rasakan ia adalah antara peranti kelas pertengahan terbaik yang pernah saya gunakan.

Dalam ujian penanda aras, markah yang diperoleh adalah seperti yang saya jangkakan. Peranti juga tidak menjadi terlalu panas selepas melakukan beberapa ujian penanda aras. Dalam ujian AnTuTu 3D, 583,079 markah dicatatkan dan dalam Geekbench 5 pula 819/2935 markah dicatatkan. Ini adalah markah lebih kurang sama dengan OnePlus Nord 2T yang menggunakan Dimensity 1300.

AnTuTu 3D
  • Nothing Phone (1): 583,079
  • OnePlus Nord 2T: 593,120
Geekbench 5
  • Nothing Phone (1): 819/2935
  • OnePlus Nord 2T: 868/3,333

Bermain permua pada peranti ini adalah bergantung kepada permua yang ingin dijalankan. Permua Beatstar dapat dimainkan degan lancar kerana skrin mengesan setiap sentuhan dengan tepat. Begitu juga Monument Valley 2 dengan warna yang cantik.

Permua dengan keperluan grafik lebih tinggi seperti Asphalt 9 mampu berjalan dengan lancar pada tetapan tinggi. Untuk permua seperti PUBG Mobile pula tetapan grafik adalah sehingga HDR dan Ultra sahaja. Snapdragon 778G+ ialah cip kelas pertengahan maka prestasi yang ditunjukkan di sinilah adalah serasi dengan cip dalam kelas yang sama. Selepas sesi permua yang panjang, peranti sekadar terasa suam sahaja.

Kamera

Sebuah sebuah peranti kelas pertengahan, Nothing Phone (1) tidak mempunyai kemampuan fotografi yang seperti sebuah peranti kelas mercu. Aplikasi kameranya juga agak asas dengan tidak banyak ciri tambahan. Kamera tidak mempunyai kecerdasan buatan yang memproses gambar selepas diambil , tiada ciri penuras gambar dan juga tiada ciri meletakkan tera air pada gambar yang diambil. Serasi dengan nama Nothing, ciri fotografi tambahan tidak diberikan. Walaupun asas, prestasi aplikasi kamera agak mengecewakan dengan setiap ikon sukar untuk ditekan.

Untuk hasil imej, peranti ini mempunyai kualiti lebih kurang sama dengan peranti seperti OnePlus Nord 2T. Ia mampu mengambil gambar mod auto dengan baik dan mempunyai hasil yang memberangsangkan. Dengan dua kamera sahaja, tidak banyak pun yang boleh dilakukan. Paling mengecewakan adalah hasil sudut ultra lebar yang tidak cantik, tajam dan mempunyai butiran walaupun sensor yang digunakan adalah 50MP. Warna yang dihasilkan tidak begitu tajam dan terang, ciri HDR juga tidak menjadikan gambar kelihatan lebih menarik.

Mod potret juga tidak begitu kemas. Lebih mengecewakan, rakaman video banyak tersangkut-sangkut pada tetapan 4K sedangkan Snapdragon 778G+ cukup berkuasa untuk melakukan rakaman pada tetapan ini.

Kekecewaan pada kamera sedikit terubat dengan lampu Glyph di belakang boleh digunakan untuk memberikan pencahayaan yang lebih lembut berbanding lampu flash. Gambar swafoto juga biasa sahaja dan tidak memberikan imej yang memuaskan. Prestasi kami Phone (1) jelas menujukan ia sebuah peranti kelas pertengahan. Dalam kelas ini, prestasi kamera Oppo Reno8 Pro masih jauh di hadapan.

Audio

Speaker peranti ini sebenarnya agak mengecewakan kerana tidak begitu enak apabila menstrim video atau muzik. Audionya terasa kosong dan membosankan. Aras kelantangan suara tidak konsisten apabila diubah dan paling penting – audio tidak seimbang dengan speaker bawah lebih lantang. Malah kekisi speaker turut mudah tertutup dengan tapak tangan ketika dipegang secara mendatar. Peranti bawah RM2000 seperti Poco X4 GT pada saya mempunyai speaker yang lebih mantap. Nothing juga tidak bekerjasama dengan mana-mana syarikat audio untuk menala bunyi supaya kedengaran lebih baik.

Memandangkan Nothing turut bangga dengan aplikasi perakam suara mereka, saya turut uji kualiti mikrofon peranti ini. Ianya baik, tetapi tidak setanding iPhone atau Pixel lagi. Kualitinya cukup baik untuk membuat nota suara untuk rujukan atau peringatan. Seperkara lagi tiada bicu audio kerana inilah lumrah peranti moden 2022.

Telefoni Dan GPS

Biasanya peranti kelas pertengahan mempunyai kualiti sambungan rangkaian yang sederhana sahaja. Pada Nothing Phone (1) pengalamannya setanding dengan peranti kelas mercu. Di rumah rangkaian WiFi boleh dinikmati dengan pantas dan menunjukkan capaian kuasa penuh. Capaian rangkaian pada peranti ini cukup stabil dan memuaskan.

Sambungan 4G LTE pada peranti kelas pertengahan lain biasanya putus-putus tetapi pada Phone (1) masalah ini tidak wujud. Saya boleh menstrim YouTube dan Netflix pada resolusi tinggi dengan lancar. Pengguna juga boleh memilih mengaktifkan VoWiFI dan VoLTE untuk mendapatkan kualiti panggilan yang lebih jelas lebih-lebih lagi di kawasan rangkaian selular yang lemah.

Kualiti panggilan telefon juga jelas serta tiada kesan hingar yang mengganggu mana-mana sesi panggilan. Suara saya sendiri menurut penerima panggilan kuat dan bagus sekali. Untuk GPS, peranti ini turut tiada masalah untuk penggunaan urusan selok-belok dan mengunci lokasi dengan baik. Ia pantas dan tepat, seperti sebuah peranti mercu.

Sungguhpun Phone (1) menyokong rangkaian 5G, ia masih belum boleh digunakan bersama rangkaian 5G DNB di Malaysia pada waktu ini. Tiada maklumat bilakah ia akan akhirnya disokong dengan jenama Nothing tidak dipaparkan di laman di bawah sokongan akan diterima dalam masa terdekat.

Bateri

Sedang peranti pesaing berlumba dengan teknologi pengecasan pantas dan teknologi bateri dwi-sel, Nothing Phone (1) sekadar menyokong pengecasan sederhana pantas sahaja. Bateri 4500mAh menyokong pengecasan 33W sahaja dengan format USB PD 3.0 dan Quick Charge 4.0. Sedikit mengecewakan kerana OnePlus Nord 2T yang dijual pada harga lebih murah menyokong sehingga 80W. Tempoh pengecasan semula bateri mengambil masa sekitar 60 minit.

Walaupun begitu, peranti ini mempunyai ketahanan bateri yang amat baik. Dalam penggunaan harian saya seperti menstrim muzik, video, menggunakan kamera, aktif pada aplikasi media sosial dan melayari web – bateri boleh bertahan sehingga 8 jam SOT. Ia turut ke 5-6 jam SOT jika permua dimainkan.

Pesaing

Nothing Phone (1)OnePlus Nord 2TOppo Reno8
6.55″ OLED, 1080 x 2400
(~402 ppi), HDR10+, 120Hz
6.43″ AMOLED 1080 x 2400
(~410 ppi), FHD+, 90Hz
6.4″ AMOLED 1080 x 2400
(~411 ppi), FHD+, 90Hz
Snapdragon 778G+ (6nm)
1 x 2.5 GHz Cortex-A78
3 x 2.4 GHz Cortex-A78
4 x 1.8 GHz Cortex-A55
Dimensity 1300 (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Dimensity 1300 (6nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-A78
3 x 2.6 GHz Cortex-A78
4 x 2.0 GHz Cortex-A55
Adreno 642LMali-G77 MC9Mali-G77 MC9
8/12 GB LPDDR58/12 GB LPDRR4X8GB LPDRR4X
128/256 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1128GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+50 Megapixel
f/1.88+f/2.2, OIS
Kamera Utama
50+8+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.2, OIS
Kamera Utama
50+8+2 Megapixel
f/1.8+f/2.2+f/2.4, OIS
Kamera Hadapan
16-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
Kamera Hadapan
32-Megapixel
IP53Tidak kalis airTidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio Stereo, DiracAudio Stereo
4500 mAh
(Berwayar 33W)
4500mAh
(Berwayar 80W)
4500mAh
(Berwayar 80W)
RM2,399 (8/256 GB)
RM2,699 (12/256 GB)
RM1,899 (8/128 GB)
RM2,099 (12/256 GB)
RM2,399 (8/128 GB)

Dalam Kotak

  • 1x Nothing Phone (1)
  • 1x Buku panduan
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

Nothing Phone (1) adalah bukti gimik pemasaran masih lagi diperlukan pada tahun 2022. Dengan menawarkan ciri unik yang tidak ada pada peranti lain, sebuah peranti kelas pertengahan berjaya menarik perhatian seperti sebuah peranti kelas mercu.

Apabila menggunakan Nothing Phone (1) di tempat awam, ramai bertanya telefon apakah ini? Jika anda inginkan perhatian, ini peranti yang sempurna untuk anda kerana mustahil untuk tidak ditegur kerana lampu Glyph amatlah unik.

Peranti ini mempunyai binaan premium, skrin cantik, dan prestasi hebat walaupun sekadar dilengkapi Snapdragon 778G+. Bateri boleh bertahan dengan agak lama walaupun sistem pengecasannya bukan yang terpantas di pasaran. Selepas beberapa tahun, Nothing Phone (1) mungkin akan menjadi antara peranti ikonik yang akan diingati oleh orang ramai kerana rekaannya yang amat unik. Hanya masa akan menentukan sama ada gimik ini tahan lama dan akan dikembangkan pada peranti lain keluaran Nothing.

Pada harga bermula RM2399 sebuah, Nothing Phone (1) dijual pada harga yang lebih premium berbanding pesaing. Namun begitu keunikan yang ditawarkan adalah mencukupi untuk menjadikan pembeliannya berbaloi.


Pro

  • Rekaan yang unik, seksi dan elegan.
  • Skrin yang pantas, terang dan memuaskan.
  • Nothing OS yang lancar, hebat dan ringkas.
  • Prestasi yang mengejutkan untuk peranti kelas pertengahan
  • Sistem lampu Glyph yang unik dan berbeza

Kontra

  • Pengecasan peranti yang agak perlahan
  • Kamera yang agak asas
  • Pepijat pada kunci skrin Nothing OS yang menjengkelkan
  • Audio kurang memuaskan.
  • Tidak disokong sistem 5G Malaysia.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd