Cari @ Amanz

Niu adalah jenama skuter elektrik terkenal di China yang masih sedang cuba menembusi pasaran global. Mereka mempunyai banyak jenis skuter tendang kaki seperti Ninebot dan Xiaomi serta turut mempunyai skuter elektrik saiz besar.

Di China, mereka mempunyai satu model skuter elektrik yang digemari ramai iaitu Niu SQi. Terkini, Niu telah bekerjasama dengan Razer untuk Niu X Razer SQi Edition sebuah skuter elektrik dengan elemen rekaan daripada Razer.

Skuter ini dibina berasaskan bahan binaan aloi magnesium dengan berat sekitar 50kg. Bahan ini digunakan untuk mudah diangkat oleh pengguna dan diyakini kukuh serta 75% lebih ringan daripada aloi biasa. Kuasa motor adalah 400W dengan kelajuan boleh mencapai sehingga 25km/j.

Dengan satu pengecasan ia boleh bertahan sehingga 5 jam untuk perjalanan sehingga 65km. Pengecasan penuh akan mengambil masa sehingga 6 jam dan bateri adalah jenis boleh tanggal dan dicas secara tersendiri. Saiz tayar adalah 17-inci, versi Razer mempunyai aksen warna hijau ikonik Razer.

Skuter elektrik ini menggunakan sistem dan enjin yang mesra alam. Ia juga mempunyai sistem sekuriti dengan penggunaan kunci pintar. Skrin disediakan untuk pengguna pantau kelajuan dan bateri. Terdapat aplikasi yang boleh digunakan yang membolehkan pengguna sambungkan pada Siri untuk kawalan suara.

Di China, Niu X Razer SQi Edition dijual pada harga RMB9,999 iaitu sekitar RM6,600. CEO Razer Min-Liang Tan mendakwa skuter elektrik ini digemari ramai dan dalam 2 saat sahaja ia habis dijual.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd