Sama seperti siri peranti pintar gergasi Samsung Galaxy Note yang dilancarkan pada bulan Oktober 2011, tidak ramai yang menjangkakan bahawa siri peranti boleh-lipat akan hadir dengan lebih dari satu iterasi, menjangkakan bahawa ia adalah sebuah peranti dengan gimik dan niche tersendiri yang tidak akan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Siri peranti pintar tersebut kini sudah memasuki model keempatnya pada tahun ini. Jika Samsung Galaxy Z Fold3 memperlihatkan rekaan serba baru dari segi penggunaan kaca boleh-lipat UTG dan lebih tahan lasak, dan kalis air- Samsung Galaxy Z Fold4 boleh dikatakan kemas kini kepada model tersebut dengan beberapa penambahbaikan yang berani saya katakan akan membuatkan anda mahu memiliki peranti ini.
Spesifikasi
Samsung Galaxy Z Fold4 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+ |
Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1 (5nm) |
Cip | 1 X 3.19 GHz Cortex-X2 3 X 2.75 GHz Cortex-A710 4 X 1.80 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB LPDDR5 |
Muatan Dalaman | 256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama | 12+50+10 Megapixel f/1.8+f/2.4+f/2.2, Zum optikal 3X, Zum Digital 30x, Ultra sudut lebar, OIS |
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman | 10MP f/2.2 4MP f/1.8 UDC |
Bateri | 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 11W Pengecasan berbalik 4.5W |
SIM/Telefoni | Nano/5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari sisi |
Harga Jualan | RM 6799 (12/256GB) RM 7299 (12/512GB) RM 8299 (12/1000GB) |
Rekaan
Samsung Galaxy Z Fold4 dilihat menggunakan rangka yang sama seperti model Z Fold3 sebelum ini. Walaupun begitu, Samsung telah memperkenalkan sejumlah penambahbaikan untuk membolehkan pengalaman menggunakan peranti Z Fold4 yang lebih baik.
Pertama ialah rekaan engsel pada peranti Z Fold4 boleh dilihat lebih nipis berbanding dengan Z Fold3. Penggunaan engsel yang lebih nipis ini membolehkan pengguna untuk membuka paparan Z Fold4 dengan lebih mudah kerana lipatan tersebut tidak begitu ketat berbanding dengan apa yang dapat dirasai sebelum ini.
Malah bukan sahaja engsel berjaya “dikuruskan” tetapi saiz bezel pada kesemua skrin berjaya dikurangkan lagi bagi menjadikannya lebih selari dengan rekaan skrin siri Galaxy S. Hasilnya Samsung mengatakan bahawa Samsung Galaxy Z Fold4 ini lebih ringan berbanding dengan berat 263g berbanding dengan 271g pada model sebelum ini.
Bukan perbezaan yang besar tetapi ini adalah usaha Samsung untuk menjadikan peranti skrin boleh-lipat mereka mempunyai berat yang sama dengan peranti rekaan candybar. Siri Fold yang dikatakan berat adalah antara rungutan utama yang diterima oleh Samsung dari pengguna peranti sedia ada.
Sama seperti Z Fold3 juga, rangka peranti ini diperbuat daripada aluminum dan mempunyai kemasan matte yang tidak memerangkap cap jari. Lokasi butang-butang kuasa, kelantangan audio dan juga palam pengecasan USB-C semuanya masih terletak di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan.
Malah, apabila anda melihat rekaan kamera peranti ini, ia masih lagi menggunakan tiga lensa yang sama, tetapi di sini dapat dilihat perbezaan utama peranti Z Fold4 dan Z Fold 3 sebelum ini.
Jika peranti Z Fold3 menggunakan sistem kamera 12MP+12MP+12MP, Z Fold4 menggunakan sistem kamera 12MP+50MP+30MP yang digunakan sebelum ini pada Samsung Galaxy S22 dan Samsung Galaxy S22+.
Ya ini juga bermakna bahawa kamera Samsung Galaxy Z Fold4 ini tampil dengan kebolehan zum digital 30x dan zum optikal sehingga 3X. Ini menyelesaikan isu pengguna Fold merungut kemampuan kamera peranti premium mereka hanya sekadar setanding dengan sebuah peranti kelas pertengahan.
Satu kemas kini ketara yang dilakukan oleh Samsung ialah penggunaan kamera swafoto dalam paparan yang kini hadir dengan ketumpatan piksel yang lebih tinggi. Jika Samsung Galaxy Z Fold3 sebelum ini hadir dengan kamera bawah paparan dengan ketumpatan 94 PPI, kamera swafoto bawah paparan Z Fold4 dengan ketumpatan piksel lebih tinggi, sekitar 132 PPI.
Ini bermakna bahawa apabila anda membuka aplikasi dengan skrin 7.6 inci terbina, kamera swafoto dalam paparan tersebut tidak akan mengganggu pandangan anda seperti dengan peranti sebelum ini. Kamera swafoto dan dalaman peranti ini dilihat tidak berubah berbanding dengan model sebelum ini dimana ia menggunakan modul kamera swafoto 10MP yang sama pada Samsung Galaxy Z Fold3.
Dari segi spesifikasi, Samsung Galaxy Z Fold4 menggunakan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen1, iaitu cip pemprosesan mudah-alih paling berkuasa untuk peranti Android. Cip ini lebih berkuasa jika ingin dibandingkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 1 yang digunakan siri Galaxy S22. Maka pengguna Z Fold (dan Z Flip4) secara automatik menggunakan peranti Samsung paling berkuasa untuk tahun 2022.
Dari segi memori dan storan pula, Samsung Galaxy Z Fold4 dilengkapi memori 12GB LPDDR5 dan juga storan sehingga 1TB UFS 3.1. Sedikit penambahan di sini mungkin ialah Samsung Galaxy Z Fold4 kini mempunyai sokongan penambahan memori RAM Plus yang boleh menambah sehingga 8GB RAM secara maya dengan mengambil sebahagian storan SSD. Sekali lagi tiada sokongan kad mikro SD tetapi ini sudah dijangka kerana sudah menjadi norma peranti mercu Samsung.
Apabila ditanya mengapa Samsung sekali lagi menggunakan cip Qualcomm untuk peranti Z Fold terbaru ini, jurucakap syarikat tersebut berkata bahawa mereka mahu memastikan bahawa Samsung Galaxy Z Fold4 menggunakan komponen-komponen paling berkuasa di pasaran sekarang, dan ia termasuklah penggunaan cip pemprosesan Qualcomm. Walaupun Samsung sendiri mempunyai cip Exynos 2200 yang dibangunkan dengan kerjasama AMD ia tidak digunakan pada siri Fodl dan ini adalah langkah bijak kerana cip keluaran sendiri mereka ini bermasalah.
Kapasiti bateri pula kekal 4400mAh. Tiada penambahan kapasiti seperti pada Z Flip4. Lebih membingungkan ia sekadar menyokong pengecasan berwayar 25W dan nirwayar 11W sama yang ditawarkan pada peranti sebelum ini. Samsung sungguh cekal mengekalkan sistem pengecasan ini sedangkan pesaing mereka sudah mula menawarkan pengecasan 80W pada peranti kelas pertengahan.
Samsung Galaxy Z Fold4 juga tampil dengan penggunaan dua pembesar suara stereo di bahagian atas dan bawah peranti ini dengan sokongan Dolby Atmos, satu lagi ciri yang diperkenalkan pada peranti sebelum ini.
Satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh Samsung ialah dari segi penggunaan bahan kitar semula bukan sahaja dalam kotak bungkusan peranti, tetapi dari segi komponen-komponen dalaman mereka.
Penggunaan plastik kitar semula dan jala ikan terbuang ini dapat dilihat bukan sahaja dalam peranti Samsung Galaxy Z Fold4, tetapi juga Z Flip4 dan Samsung Galaxy Buds2 Pro. Samsung dijangka akan terus menggunakan bahan-bahan kitar semula ini dalam peranti-peranti yang akan diperkenalkan mereka di masa akan datang.
Skrin
Walaupun Samsung menggunakan rangka sebelum ini pada peranti boleh-lipat terbaru mereka, salah satu perubahan yang Samsung telah lakukan untuk Samsung Z Fold4 ini ialah mereka telah melebarkan sedikit saiz paparan hadapan mereka.
Lebar skrin luaran Z Fold4 ialah 57.2mm, sekitar 2.7mm lebih lebar daripada apa yang ditawarkan pada Z Fold3. Menurut jurucakap Samsung juga, ini akan menyenangkan hati mereka yang mengatakan bahawa paparan luaran sebelum ini adalah terlalu tirus. Ini disentuh dalam ulasan Z Fold3 yang diterbitkan oleh Amanz tahun lalu.
Skrin luarannya yang terlalu pipih membuatkan proses menaip hampir mustahil bagi mereka yang berjari agak besar. Sungguhpun begitu nisbah skrin masih lagi memanjang tidak seperti pada Oppo Find N yang saya masih rasakan adalah rekaan peranti skrin boleh-lipat yang paling mesra pengguna setakat ini.
Spesifikasi khusus untuk kesemua paparan Samsung Galaxy Z Flip4 adalah seperti berikut:
- Skrin Luaran : 6.2 inci -2316 x 904 pixel, 120Hz
- Skrin Dalaman : 7.6 inci – 2176×181 pixel, 120Hz
Satu lagi penambahbaikan yang dilakukan oleh Samsung pada paparan skrin Galaxy Z Fold 4 ini ialah penggunaan kaca Corning Gorilla Glass Victus+ pada paparan luar dan dalam peranti ini, yang menjanjikan bahawa kedua-dua paparan tersebut tidak mudah tercalar ataupun retak. Ini ialah kaca yang sama seperti yang digunakan pada siri Galaxy S22.
Dari segi kualiti paparan, sama seperti peranti Galaxy Z Fold3 sebelum ini juga sokongan untuk teknologi HDR10+ dan nilai kecerahan yang tinggi membolehkan peranti ini digunakan untuk mendapatkan pengalaman tontonan kandungan dalam sebuah peranti mudah-alih yang hampir tiada tolok bandingan.
Tidak kira jika anda menggunakan paparan luar ataupun dalaman, kualiti paparan Samsung Dynamic AMOLED 2X, teks, gambar dan video semuanya dilihat tajam dan mempunyai olahan warna yang sangat cantik. Teknologi skrin telefon pintar Samsung memang cukup terkenal sehingga digunakan oleh pesaing seperti Apple dan Oppo pada peranti paling mercu mereka.
Sayangnya, bagi mereka yang mengharapkan bahawa Samsung akan memperbaiki isu kedut lipatan pada paparan dalaman, ia masih lagi belum berjaya diselesaikan. Kedut jelas kelihatan lebih-lebih lagi apabila memaparkan latar belakang putih. Cara terbaik untuk menyelesaikan isu ini ialah dengan mengaktifkan mod malam sepanjang masa. Lipatan tidak begitu jelas tetapi akan nampak ketara lebih-lebih lagi ketika menonton video dalam mod skrin penuh.
Boleh saya katakan ini adalah di antara isu yang terbesar pada peranti ini. Selepas empat versi dan menukar lapisan plastik poliamida ke Ultra Thin Glass (UTG), penyelesaian untuk merungkai isu kesan lipatan masih belum ditemukan Samsung. Mungkin Samsung boleh bertanya kepada Oppo dan Vivo yang dapat menawarkan peranti skrin boleh-lipat dengan kesan lipatan yang tidak begitu ketara.
S Pen
Samsung Galaxy Z Fold4 masih menyokong S Pen yang sama dengan model sebelum ini. Tiada penambahan pada keperincian mata pena, ciri baharu untuk memudahkan lagi penggunaan dan lebih kritikal masih lagi tidak mempunyai tempat simpanan khusus seperti pada Galaxy Note/S22 Ultra. Ura-ura terdapat tempat simpanan S-Pen jauh menyimpang seperti kos pembinaan kapal LCS TLDM.
Hanya S Pen Pro dan S Pen Fold Edition sahaja boleh digunakan kerana ia mempunyai mata bergetah untuk mengelakkan skrin boleh-lipat tercalar. Jika S Pen biasa cuba digunakan, ia langsung tidak akan dikesan.
Penambah baikan paling besar untuk S Pen terletak pada kerangka rasmi yang dikeluarkan oleh Samsung. Ruang simpanan S Pen boleh ditanggalkan dan digantikan dengan tongkat. Dengan ini bonggol simpanan S Pen tidak lagi mengganggu pengguna dan boleh ditanggalkan jika tidak diperlukan.
Penggunaan Dan Perisian
Samsung Galaxy Z Fold4 hadir dengan sistem operasi Android 12 dan antaramuka OneUI 4.1.1. Dari segi penggunaan serta antaramuka ia kelihatan sama sahaja dengan Z Fold3 cuma dengan beberapa mod tambahan. Sebagai contoh ia masih hadir dengan fungsi Flex Mode yang membolehkan anda menggunakan pelbagai aplikasi apabila skrin dilipat 90 darjah, Continuity Mode yang membolehkan anda menyambung penggunaan aplikasi daripada skrin luaran ke skrin dalaman(dan berbalik), dan juga penggunaan sehingga 3 aplikasi sekaligus menerusi mod Multi Window.
Dermaga aplikasi Edge Panel juga masih disertakan bagi memudahkan pengguna mengakses kompas, lampu suluh, kayu pengukur, Live Message, akses pantas aplikasi dan memadankan tiga aplikasi untuk ia sentiasa dilancarkan serentak dalam mod Multi Window.
Dermaga taskbar di bahagian bawah skrin kini diaktifkan terus secara lalai dan bukan lagi diletakkan dalam Samsung Lab seperti tahun lalu. Ikon aplikasi yang telah dibuka akan dipaparkan pada taskbar untuk memudahkan proses menukar antara aplikasi sama seperti sebuah komputer Windows dan macOS.
Ini adalah ciri yang paling saya suka tahun lalu dan dengan ia diaktifkan secara lalai adalah keputusan bijak oleh Samsung. Pengguna juga boleh melancarkan aplikasi terus ke Multi Window dengan melakukan aksi Drag & Drop dari taskbar ke skrin utama. Apa yang kami sedari ia proses menggunakan Multi Window dan mengubah saiz setiap tetingkap kini terasa jauh lebih lancar. Besar kemungkinan kerana akhirnya menggunakan implementasi Android 12L secara natif tidak seperti Z Fold3 tahun lalu.
Kesemua lancar kerana cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang berkuasa dipadankan dengan memori 12GB RAM. Saiz RAM ini sudah cukup besar untuk pelbagai aplikasi yang saya cuba jalankan tetapi pengguna boleh menambah 2GB, 4GB, 6GB dan 8GB RAM Secara masa menerusi ciri RAM Plus. Sebahagian storan SSD akan diambil untuk menambah RAM secara maya.
Pada pendapat saya, penambah baikan antaramuka ini adalah sesuatu yang baik kerana Samsung dilihat lebih berani untuk cuba menjadikan peranti yang unik dengan kelebihan-kelebihannya tersendiri, dan tidak hanya membuatkan peranti kelihatan sebagai sebuah peranti siri Galaxy S dengan paparan skrin yang lebih lebar.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Z Fold4 akhirnya dapat dilihat sebagai peranti kelas premium yang bukan sahaja hadir dengan rekabentuk yang menarik dan unik, tetapi juga hadir dengan spesifikasi cip pemprosesan berkuasa, kamera kelas mercu dan juga perisian terbina yang hadir dengan sejumlah penambahbaikan yang memudahkan lagi pengalaman penggunaan peranti ini.
Bagi saya, Samsung Galaxy Z Fold4 ini boleh dilihat sebagai sebuah peranti yang akan meyakinkan anda untuk berhijrah dari peranti candybar ke sebuah peranti boleh-lipat khususnya jika anda masih berada diatas pagar mengenai peranti-peranti seperti ini.
Samsung dilihat telah memperbaiki sejumlah isu yang tampil pada peranti sebelum ini, tetapi keputusan untuk tidak menukar beberapa aspek peranti ini seperti teknologi pengecasannya dan juga cara menyimpan aksesori S Pen boleh dikatakan sesuatu yang agak membingungkan.
Ia difahami bahawa tidak semua yang mahu menggunakan peranti Galaxy Z Fold akan mahu menggunakan aksesori S Pen. Tetapi jika Samsung serius ingin mempopularkan rekaan Fold kepada semua pengguna, ciri yang wujud pada siri Galaxy S perlu ditawarkan juga pada peranti skrin boleh-lipat bagi menjadikan ia peranti paling mercu yang ditawarkan mereka.
Pro
- Rekaan engsel lebih nipis yang memudahkan membuka peranti.
- Paparan skrin luar yang sedikit lebih lebar.
- Spesifikasi kamera kelas mercu.
- Spesifikasi mercu yang tidak mengecewakan.
- Lebih banyak penambahbaikan pada perisian.
Kontra
- Kamera dalam UDC masih dapat dilihat pada sudut tertentu.
- Masih tiada ruang penyimpanan S Pen dalam peranti.
- Pengecasan masih sekadar 25W.
- Skrin dalam masih mempunyai kedut lipatan ketara.
- Gunakan kod AMGZF4VIP apabila membeli Galaxy Z Flip4 atau Galaxy Z Fold4 dan dapatkan Super Fast Wireless Charger Duo yang bernilai RM 369 termasuk kabel dan pengecas 15W PD.