Menjadi kebiasaan di kalangan pengeluar telefon pintar sekarang untuk melancarkan peranti baharu yang sebenarnya hanyalah peranti lama yang digantikan rekaan luarannya sahaja dengan komponen masih lagi sama. Oppo Reno8 Z ialah peranti yang dilancarkan sebulan yang lalu dan pasti ramai menyangka ia mempunyai cip baharu seperti Reno8 Pro dan Reno8. Tetapi hakikatnya Reno8 Z ialah sebuah Reno7 Z yang sekadar ditukar kulit.
Bila kami katakan kulit sahaja bukan berseloroh. Tiada langsung perubahan dilakukan pada spesifikasi kecuali storan yang kini lebih besar. Tetapi memandangkan kami tidak mengulas Reno7 Z tahun lalu, ulasan ini akan menjawab beberapa persoalan sama ada Reno8 Z berbaloi untuk dimiliki.
Spesifikasi Dan Rekaan
Oppo Reno8 Z | |
---|---|
Skrin | 6.43″ AMOLED 1080 x 2400 pixel, 60Hz |
Pemproses | Snapdragon 695 (6nm) |
Cip | 2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold 6 X 1.7 GHz Kryo 660 Silver |
Cip Grafik | Adreno 619 |
RAM | 8GB LDPDR4x |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 2.2 MikroSD 1TB |
Kamera Utama | 64MP f/1.7,(Sudut lebar) 2MP f/2.4 (Makro) 2MP f/2.4 (Kedalaman) |
Kamera Swafoto | 16 MP f/2.4 |
Bateri | 4500 mAh Pengecasan berwayar 33W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano / 5G |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM1799 (8/256GB) |
Skrin 6.43″ AMOLED yang digunakan sekadar menyokong kadar segar semula 60Hz. Adalah canggung melihat skrin 60Hz pada tahun 2022 kerana sebelum di pasaran sekarang banyak peranti kelas pertengahan dengan sokongan 120Hz. Lebih mengejutkan Reno8 Z juga tidak menyokong sebarang format HDR.
Jika kandungan HDR YouTube dimainkan, pilihan HDR langsung tidak dipaparkan. Dalam Netflix pula ikon HDR tidak dipaparkan langsung dalam aplikasi. Untuk peranti dengan Snapdragon 695, ketiadaan sokongan HDR adalah agak aneh kerana Redmi Note 11 Pro 5G dengan cip yang sama menyokongnya.
Oleh itu prestasi skrin peranti ini sekadar sederhana sahaja apabila dibandingkan dengan peranti lain dalam kelas yang sama. Ia masih lagi terang dengan paparan warna yang baik serta mengesan sentuhan dengan jitu. Namun begitu penggunaan terasa seakan perlahan kerana skrin hanya 60Hz.
Bezel adalah nipis pada bahagian atas dan sisi. Ia sedikit tebal pada bahagian dagu yang membuatkan skrin kelihatan kurang seimbang. Lubang kamera pada bucu atas kiri adalah kecil tetapi akan menghalang pandangan ketika menonton video dalam mod skrin penuh dan dalam aplikasi permainan video. Oppo ColorOS walau bagaimanapun memberikan pilihan kepada pengguna untuk meletakkan palang hitam di atas bagi mengalang kandungan dari diganggu oleh lubang kamera ini jika perlu.
Skrin juga adalah dari jenis rata yang dari segi penggunaan lebih selesa berbanding skrin dengan sisi yang melengkung. Terdapat pengimbas cap jari bawah skrin bawah skrin dari jenis optikal. Kedudukannya agak rendah menyebabkan proses menyahkunci peranti sedikit sukar.
Sungguhpun begitu pengimbas cap jari berfungsi dengan pantas dengan nyakunci berlaku sekelip mata. Hanya perlu pastikan jari adalah kering dan tidak berminyak kerana ia pengimbas jenis optikal sukar berfungsi sekiranya tidak.
Pada sisi kiri yang sama terdapat butang laras kelantangan bunyi dan talam untuk dwi SIM dengan kad Mikro SD. Talam dari jenis hibrid membenarkan dwi SIM dan penambahan memori dilakukan secara serentak. Sementara itu di bahagian bawah terdapat port pengecasan USB-C, bicu audio 3.5mm dan kekisi untuk speaker mono. Akhir sekali butang kuasa diletakkan pada sisi kanan.
Keseluruhan panel belakang diperbuat daripada logam dengan warna cerun. Kemasan sedikit kasar membuatkan ia tidak mudah kotor. Dua bonggol lensa yang besar mendominasi panel belakang dan ia menyebabkan peranti terjungkit sedikit apabila diletakkan di atas meja. Tidak seperti Reno8 dan Reno8 Pro, dua lensa yang besar ini tidak diletakkan dalam satu bonggol yang besar bagi melindungi dari sebarang kerosakan.
Dwi-lensa kamera ini juga dilengkapi sistem lampu Oppo Glow. Ia boleh berkelip apabila menerima notifikasi dan panggilan telefon. Amat berguna bagi mereka yang tidak mahu terlepas panggilan telefon apabila peranti diletakkan dalam mod senyap.
Secara keseluruhan rekaan peranti ini sederhana, praktikal dan seimbang dengan terdapat kriteria peranti premium. Bingkai logam yang kukuh membuatkan peranti terasa selesa dan teguh dalam tangan. Di Amanz kami tidak melakukan ujian membengkok dengan kerap tetapi bingkai Reno8 Z adalah cukup keras dengan tidak melentur apabila tekanan diberikan.
Penggunaan Dan Perisian
Peranti menggunakan Android 12 dengan pelancar ColorOS 12 yang sebenarnya mirip dengan antaramuka Android 12 asli. ColorOS adalah antara pelancar yang berjaya menggabungkan gaya dengan kelancaran tanpa mengorbankan sebarang fungsi tambahan. Jika pengguna merasakan 8GB RAM tidak mencukupi, RAM Expension boleh menambah memori secara masa dalam saiz 2, 3 atau 5GB. Secara lalai 3 GB RAM maya diaktifkan dan ia boleh dimatikan jika anda lebih mementingkan ruang storan.
Pelancar ColorOS mempunyai reputasi yang baik dari segi kelancaran dan mudah digunakan. Memandangkan antaramuka Android antara peranti pengeluar kini semakin seragam, kami tidak merasakan pengguna baharu kepada ColorOS tidak akan mengalami masalah menggunakan pelancar ini. Seperti yang kami katakan beberapa perenggan di atas, kekurangan hanyalah skrin sekadar 60Hz membuatkan penggunaan Reno8 Z terasa sedikit perlahan berbanding peranti denga kadar segar semula 90, 120 dan 144Hz.
Ciri gestur melakukan tangkapan layar, melancarkan aplikasi kamera atau menghidupkan lampu suluh. Smart Sidebar pula meletakkan beberapa aplikasi dan ciri asas pada tab sisi yang boleh ditarik keluar pada bila-bila masa. Ciri-ciri ini sudah diberikan secara standard pada peranti Oppo sejak beberapa tahun yang lalu. Jika anda pernah menggunakan peranti ColorOS sebelum ini, proses membiasakan diri dengan Reno8 Z kan menjadi pendek kerana ia masih lagi sama dengan peranti Oppo yang lain.
Kerana Android 12 masih digunakan, pengguna boleh mengakses ciri tema Android yang memudahkan proses menukar warna antaramuka peranti dan latar belakang dengan mudah. Oppo sudahpun mengesahkan Reno8 Z akan menerima Android 13 pada tahun 2023.
Penanda Aras
Snapdragon 695 ialah cip kelas pertengahan 6nm yang dilancarkan pada penghujung 2021. Oleh sebab itu ia masih lagi boleh dianggap sebagai antara peranti kelas pertengahan yang baik. Berikut adalah markah yang dicatatkan Snapdragon 695 dalam beberapa ujian penanda aras.
- Geekbench 5 – 674/1921 Markah
- Antutu 3D – 398,307 Markah
- Wild Life – 1218 Markah
Markah Geeekbench yang dicatatkan adalah sedikit lebih tinggi Snapdragon 680 4G tetapi di bawah Snapdragon 778G . Pelbagai aplikasi bole dijalankan tanpa sebarang isu yang serius. Kami menyedari di YouTube video dihadkan kepada resolusi FHD sahaja dengan pilihan 4K tidak boleh diakses kerana kekurangan pada cip.
Permua berat seperti COD Mobile, PUBG dan Genshin Impact hanya boleh dimainkan pada tetapan sederhana sahaja dengan kadar bingkai yang memuaskan. Tiada isu pemanasan melampau dengan ia sekadar menjadi suam-suam kuku.
Telefoni, GPS, WiFi Dan Radio
Reno8 Z disokong oleh rangkaian 5G DNB. Terdapat sokongan untuk VoLTE dan VoWiFi pada telko yang menyokongnya. Ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu rangkaian 4G yang teruk dalam bangunan di Malaysia sekarang untuk melakukan panggilan suara. Panggilan suara dapat dilakukan dengan baik dengan suara kedengaran dengan jelas dalam ujian menerusi rangkaian Digi.
Prestasi GPS juga tidak mengecewakan dengan lokasi dapat ditetapkan dalam aplikasi Waze dalam masa sekitar sesaat. Ketika menggunakannya di tengah-tengah KL dengan bangunan tinggi di tepi jalan, isyarat masih lagi dapat dikesan dengan baik.
Kamera
Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar 64MP f/1.7, makro 2MP f/2.4 dan kedalaman 2MP f/2.4. Tiada sistem OIS diberikan pada mana-mana lensa. Di hadapan pula sebuah sensor 16MP f/2.4 digunakan untuk kamera swafoto yang terletak dalam lubang skrin.
Kamera utama sudut lebar menyokong mod 64MP untuk saiz gambar yang lebih besar. Terdapat ciri-ciri standard seperti mod malam, makro, potret, Pro, dan panorama. Kecerdasan buatan yang mengubah tetapan kamera dan melakukan pasca proses juga boleh diaktifkan jika perlu. Kerana peranti ialah dari kelas pertengahan, video yang boleh dirakam hanyalah pada resolusi maksimum 1080p 30FPS sahaja.
Gambar yang kami ambil menggunakan kamera Reno8 Z adalah amat memuaskan walaupun cuaca di Bangkok tempat gambar diambil adalah mendung sepanjang masa. Majoriti gambar kelihatan tajam dengan warna yang nampak hidup walaupun tona warna lebih panas berbanding situasi sebenar. Kami tidak mengeluh kerana tanpa pasca proses kesemua gambar mungkin akan kelihatan suram kerana cuaca yang mendung.
Mod potret dan swafoto juga baik dengan sekali lagi imej kelihatan tajam. Dalam situasi pencahayaan di kawasan tertutup memang nampak imej sedikit gelap dengan warna kurang menyerlah. Tanpa OIS boleh dilihat gambar mod malam tidak setajam gambar yang diambil dalam keadaan terang.
Terdapat mod makro tetapi kesemua gambar yang diambil tidak memuaskan. Sekali lagi kami meminta pengeluar peranti Android supaya menghentikan gimik lensa makro 2MP yang langsung tidak berguna.
Bateri
Prestasi bateri sebesar 4500 mAh yang digunakan adalah mengecewakan kerana hanya memberikan 6 jam SOT sahaja pada penggunaan sederhana dengan ia tidak mampu melepasi penggunaan melebihi 24 jam. Pada penggunaan yang lebih berat SOT turun ke sekitar 4 jam. Ini berlaku jika kami menjalankan permua dengan mod gaming diaktifkan. Pengecasan semula mengambil masa sekitar 1 jam menggunakan pengecas 33W dengan kepala USB-C. Oppo tidak lokek dan pengecas disertakan dengan setiap pembelian.
Audio
Sekadar audio mono disokong maka seperti boleh diagak audio adalah tidak seimbang. Tiada juga sokongan Dolby Atmos apabila aksesori audio dipasang kepada peranti tetapi digantikan dengan sistem Real Sound. Audio mono adalah tidak boleh dimaafkan pada tahun 2022. Kekurangan pada speaker fizikal sedikit terubat kerana terdapat bicu audio 3.5mm untuk aksesori berwayar.
Pesaing
Oppo Reno8 Z | Poco X4 Pro 5G | Realme 9 Pro |
6.43, AMOLED 1080 x 2400, 60Hz, (409 PPI) | 6.67″, AMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (395 PPI), HDR10+ | 6.6″ IPS LCD, 1080 x 2412, 120Hz, (400 PPI) |
Snapdragon 695 (6nm) 2 X 2.4 GHz Kryo 660 Gold 6 X 2.5 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 695 (6nm) 2 X 2.4 GHz Kryo 660 Gold 6 X 2.5 GHz Kryo 660 Silver | Snapdragon 695 (6nm) 2 X 2.4 GHz Kryo 660 Gold 6 X 2.5 GHz Kryo 660 Silver |
Adreno 619 | Adreno 619 | Adreno 619 |
8 GB RAM LPDDR4x | 6/8 GB RAM LPDDR4x | 6/8 GB RAM LPDDR4x |
256 GB UFS 2.2 (Mikro SD 1TB) | 128/256 GB UFS 2.2 (Mikro SD 1TB) | 128 GB UFS 2.2 (Mikro SD 1TB) |
Kamera Utama 64MP, f/1.7 Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro 2MP, f/2.4 Kedalaman | Kamera Utama 108MP, f/1.9 Sudut Lebar 8MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro | Kamera Utama 64MP, f/1.8 Sudut Lebar 8MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar 2MP, f/2.4 Makro |
Kamera Hadapan 16 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 16MP | Kamera Hadapan 16 MP f/2.1 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | Tidak kalis air |
Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm | Bicu audio 3.5mm |
Audio Mono | Audio Stereo | Audio Mono |
4500 mAh Berwayar 33W | 5000 mAh Berwayar 67W | 5000 mAh Berwayar 33W |
RM1799 (8/256GB) | RM1199 (6/128GB) RM1499 (8/256GB) | RM1099 (6/128GB) RM1199 (8/128GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Oppo Reno8 Z
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pengecas 33W.
- 1x Kerangka silikon
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM
Kesimpulan
Oppo Reno8 Z tidak mengecewakan sebagai sebuah peranti kelas pertengahan. Rekaan yang kemas serta menarik dipadankan dengan spesifikasi sederhana yang memuaskan. Kemampuan kamera yang baik untuk kelasnya juga boleh dinikmati. Perisian ColorOS pula memberikan pelbagai ciri tambahan yang akan memudahkan penggunaan peranti. Prestasi menjalankan aplikasi biasa tidak mengecewakan cuma ia tidak boleh kami sarankan kepada golongan gamer tegar.
Kekurangan terletak pada hayat bateri yang pendek dan juga ia sekadar sebuah Reno7 Z 5G yang diberikan badan baharu dan storan lebih besar. Pada harga RM1799, ia juga amat mahal jika dibandingkan dengan peranti seperti OnePlus Nord CE 2 Lite, Poco X4 Pro 5G dan Realme 9 Pro yang dijual pada harga bawah RM1500. Oleh itu sukar untuk menyarankannya kepada pembaca melainkan anda memang inginkan sebuah peranti Oppo dengan Snapdragon 695.
Pro
- Rekaan yang kemas, tidak mudah kotor dan menarik.
- Penggunaan lancar walaupun pemproses tidak begitu berkuasa.
- Kemampuan kamera yang memuaskan.
- Dilengkapi bicu audio 3.5mm.
- Pengecasan pantas 33W yang disertakan dengan pembelian.
Kontra
- Speaker mono.
- Skrin 60Hz.
- Harga agak mahal untuk spesifikasi yang ditawarkan.