Cari @ Amanz

Jam tangan pintar tidak mempunyai ketahanan bateri yang baik. Secara purata jam tangan pintar perlu dicas setiap dua hari. Bagi mereka yang bosan perlu mengecas dengan kerap, Garmin Enduro 2 dilancarkan khusus untuk anda.

Enduro 2 mampu beroperasi sehingga 46 hari dengan sekali caj dalam mod jam tangan pintar tetapi ia akan bertambah sehingga 550 hari dalam mod jam biasa. Dalam mod GPS pula menjunam ke 150 jam sahaja tetapi ini masih bertahan lebih lama berbanding sebuah Apple Watch misalnya.

Kemampuan bateri yang melampau ini dicapai kerana Enduro 2 boleh dicas semula menggunakan panel solar yang terbina. Jam tangan pintar ini dipasarkan sebagai peranti aktiviti lasak dengan tubuh diperbuat daripada polimer gentian karbon dan titanium sementara skrin 1.4″ menggunakan bahan Power Sapphire. Bahagian tali pula diperbuat dari bahan nilon.

Seperti biasa jam tangan Garmin mempunyai kemampuan menjejak nadi, aktiviti sukan, oksigen dalam darah, peta terbina, kuasa tubuh dan pelbagai lagi ciri yang diperlukan oleh pengguna sukan aktif. Sepasang Garmin Enduro 2 ditawarkan pada harga $1100 (~RM4902).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd