OnePlus nampaknya akan lebih serius dalam pasaran peranti boleh pakai. Produk pertama mereka adalah OnePlus Watch yang tiba pad tahun lepas dengan sistem operasi tersendiri. Bulan lepas, aplikasi N Health iaitu aplikasi untuk peranti boleh pakai khusus untuk ekosistem Nord telah tertiris. Di dalamnya ada menyenaraikan jam yang diberi nama OnePlus Nord Watch.
Aplikasi ini sebenarnya hanyalah penjenamaan semula aplikasi OnePlus Health. Nampaknya OnePlus ingin asingkan jenama Nord ini sebagai satu entiti sendiri. Ini berkemungkinan besar salah satu strategi mereka untuk menjadi Nord sebagai satu jenama sendiri.
Terkini, 91Mobiles telah mendedahkan beberapa rekaan jam OnePlus Nord. OnePlus nampaknya bukan akan hadir dengan satu jam sahaja tetapi akan ada lima model.
Rekaan pertama memperlihatkan skrin bulat dengan bezel yang dilindungi dengan sejenis bumper serta mempunyai dua butang di sisi dengan butang pertama mempunyai aksen waran merah. Jam ini dikatakan adalah versi tahan lasak mereka, mungkin ingin bersaing dengan Amazfit T-Rex 2.
Rekaan kedua mendedahkan rekaan skrin bulat yang sama, cuma ia nampak lebih ringkas dan minimal. Ini memberi petanda ini mungkin adalah jam Nord yang utama tanpa perlindungan untuk ia menjadi tahan lasak. Rekaan ketiga juga hadir dengan skrin bulat, tetapi butang di sisi hanya ada satu dan dari imej ia kelihatan mungkin menggunakan bahan binaan lebih mampu milik.
Rekaan keempat dan kelima dilihat menggunakan rekaan seakan Amazfit GTS/GTR 4 atau Apple Watch. Beza dalam imej dilihat mungkin adalah saiz dan bahan binaan. Bersama-sama dengan rekaan yang tertiris ini adalah imej awal untuk muka jam.
Jelas di sini, jam-jam Nord ini adalah jam tangan pintar asas dengan sistem operasi tersendiri. Tidak pasti jika jam ini turut akan menyertakan sokongan Google Maps dan Spotify seperti OnePlus Watch. Apakah keunikannya dan penawaran yang akan diberikan? Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi untuk produk-produk ini nanti.