Carian
10 Perkara Menarik Dan Mengecewakan Samsung Galaxy Z Fold4 / Galaxy Z Flip4
August 10, 2022 Effi Saharudin

Peranti skrin boleh lipat generasi ke-empat Samsung dilancarkan sebentar tadi. Samsung Galaxy Z Fold4 dan Samsung Galaxy Z Flip4 mengekalkan rekaan yang sama seperti Z Fold3 serta Z Fold3 tahun lalu. Oleh sebab itu mungkin sedikit sukar bagi orang ramai untuk mengetahui perbezaan model tahun ini dengan model tahun lalu. Menerusi artikel ini kami akan menyenaraikan 10 perkara menarik dan mengecewakan pada peranti skrin boleh-lipat terkini Samsung.

1. Menarik – Menggunakan Snapdragon 8+ Gen 1

Snapdragon 8+ Gen 1ialah cip paling berkuasa untuk peranti Android tahun ini dengan peningkatan prestasi sekitar 10% berbanding Snapdragon 8 Gen 1 yang digunakan pada siri Galaxy S22. Snapdragon 8+ Gen 1 ialah cip yang digunakan pada peranti gaming ASUS Zenfone 6 Pro. Bagi mereka yang mahukan peranti yang berkuasa bukan sahaja untuk kerja tetapi juga untuk menjalankan permua bergrafik tinggi Samsung Galaxy Z Fold4 dan Galaxy Z Flip4 adalah peranti yang akan memenuhi keperluan.

2. Menarik – Skrin Luaran Z Fold4 Kini Lebih Lebar

Dalam ulasan Z Fold3 tahun lalu, kami mengatakan skrin luaran peranti ini terlalu pipih sehingga hampir mustahil untuk menaip menggunakannya. Pengguna tiada pilihan selain membuka skrin boleh-lipat semata-mata untuk menaip mesej WhatsApp, SMS atau memuat naik status media sosial. Dalam 90% situasi skrin perlu dibuka membuatkan skrin luaran sekadar hiasan. Pada Z Fold4 skrin luaran adalah 3mm lebih lebar dan hasilnya proses menaip menjadi lebih selesa dan skrin tidak kelihatan terlalu memanjang.

3. Menarik – Kamera Z Fold4 Kini Setanding S22

Rungutan dari pemilik siri Fold selama ini ialah sistem kamera pada peranti super premium mereka hanya setanding dengan sebuah peranti kelas pertengahan. Langsung tidak sebaik model siri Galaxy S yang paling mampu milik. Samsung mendengar maklum balas dar pengguna dan pada Z Fold4, kamera 50MP sudut lebar, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP zum telefoto. Akhirnya peranti boleh melakukan zum optikal sehingga 3X dan zum digital sehingga 30X. Era peranti skrin boleh-lipat Samsung dengan kamera kurang memuaskan berakhir dengan Z Fold4.

4. Menarik – Masih Kalis Air IPX8

Z Fold4 dan Z Flip4 meneruskan tradisi peranti skrin boleh-lipat yang kalis air dengan ia melepasi piawaian IPX8. Tiada kerisauan peranti akan mengalami kerosakan jika terkena air atau secara tidak sengaja jatuh ke dalam kolam. Serasi dengan cuaca di Malaysia yang boleh secara tiba-tiba hujun turun dengan lebat. Samsung sahaja menawarkan peranti skrin boleh-lipat yang benar-benar kalis air bukan sekadar kalis percikan di pasaran sekarang.

5. Menarik – Bateri Z Flip4 Kini Lebih Besar

Bateri Z Flip4 meningkat ke 3700 mAh berbanding hanya 3300 mAh tahun lalu. Antara isu yang paling kerap diketengahkan oleh pemilik Z Flip3 tahun lalu ialah bateri yang tidak mampu bertahan sepanjang hari. Dengan penambahan bateri 400 mAh serta penggunaan pemproses yang lebih jimat menggunakan kuasa, isu peranti tidak tahan seharian akan diselesaikan.

6. Menarik – Taskbar Multi-Tugas Dipaparkan Dengan Jelas

Taskbar multi-tugas seakan komputer Windows dan macOS telah diperkenalkan tahun lalu. Tetapi ini memerlukan pengguna memilih Side Panel terlebih dahulu dan kemudian memilih untuk meletakkan pin supaya ia kekal di sisi kanan atau kiri skrin. Menerusi One UI 4.1.1 di Z Fold4, taskbar kini diubah ke bahagian bawak skrin secara automatik apabila membuka sesebuah aplikasi. Kini antaramuka lebih mirip sebuah sistem operasi komputer sebenar. Tugas menukar antara aplikasi dan melancarkannya dalam mod multi-window menjadi semakin pantas berbanding antaramuka terdahulu.

7. Menarik – Kustomasi Samsung Galaxy Z Flip4Bespoke Ditawarkan Di Malaysia

Samsung Galaxy Z Flip4 Bespoke Edition ditawarkan di 28 negara kali ini termasuk Malaysia. Menerusi versi ini pengguna boleh memilih 5 warna untuk panel atas, 5 warna untuk panel bawah dan 3 warna untuk bingkai serta engsel. Sebanyak 75 kombinasi rekaan warna boleh dihasilkan dan dipilih oleh mereka yang ingin memesan Z Flip4 Bespoke Edition. Sebelum ini telefon pintar Bespoke hanya ditawarkan di Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

8. Mengecewakan – Garis Lipatan Masih Jelas Kelihatan

Garis lipatan skrin masih jelas kelihatan pada kedua-dua peranti. Selepas empat iterasi misteri menyelesaikan isu yang sudah wujud sejak peranti pertama masih belum berjaya dirungkai. Kesan lipatan membuatkan peranti kelihatan aneh pada sudut tertentu khususnya ketika menonton video dan menjalankan permua.

9. Mengecewakan – Pengecasan Masih Sekadar 25W

Kita di penghujung 2022 dan Samsung masih sekadar memberikan sistem pengecasan yang sama sejak Z Fold2 dua tahun yang lalu. Dengan pesaing mampu menawarkan pengecasan 80W pada peranti kelas pertengahan mereka, siri Z Fold dan Z Flip yang lebih premium sekadar menyokong 25W adalah mengecewakan.

10. Mengecewakan – Tiada Evolusi Ketara Pada Rekaan

Seperti bateri, rekaan peranti tidak begitu banyak berbeza berbanding Fold3 tahun lalu. Sekilas pandang perbezaan pada rekaan hampir tidak dapat dilihat. Memang peranti sedikit lebih kecil dan ringan tahun ini tetapi ini mungkin tidak mencukupi bagi majoriti pengguna di luar sana. Samsung meminjam teknik jualan Apple sejak akhir-akhir ini dengan sedikit sahaja perubahan dilakukan dari tahun ke tahun.

Komen