Samsung Galaxy Z Fold4 Kini Rasmi – Snapdragon 8+ Gen 1, Kamera Dipertingkat Harga Bermula RM6799

Diterbitkan pada Ogos 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Samsung hari ini telah melancarkan peranti dengan skrin boleh-lipat baharu mereka iaitu Galaxy Z Fold4. Dengan generasi baharu ini, Samsung membawakan sedikit perubahan menjadikannya lebih menarik untuk digunakan berbanding Galaxy Z Fold3.

Pertama adalah pada skrin, Galaxy Z Fold4 hadir dengan skrin dalam 7.6-inci daripada panel Infinity Flex Dynamic OLED 2X dengan resolusi QXGA+ 2176 x 1812 dan menyokong kadar segar semula adaptif 1Hz-120Hz. Untuk skrin luar, Samsung masih menggunakan saiz 6.2-inci panel Dynamic OLED 2X dengan resolusi HD+ 2316 x 904 dan turut menyokong kadar segar semula adaptif – tetapi hanya 48Hz-120Hz.

Peranti ini dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB sehingga 1TB. Bateri peranti masih sama dengan Z Fold3 iaitu 4400mAh dengan sokongan pengecasan pantas 25W Super Fast Charging.

Untuk kamera, Galaxy Z Fold4 menggunakan konfigurasi tri-kamera yang menggabungkan sensor 12+50+10 Megapixel f/2.2+f/1.8+f/2.4, OIS, zum optikal 3x dan Space Zoom 30x. Ini adalah satu peningkatan berbanding sebelum ini yang hanya terhad pada 12MP sahaja. Kamera yang digunakan adalah sama dengan Galaxy S22 sebelum ini. Untuk kamera swafoto, pada bahagian dalam ia adalah jenis bawah skrin dengan sensor 4MP yang didakwa lebih baik. Sementara di skrin luar menggunakan sensor 10MP.

Peranti ini turut masih menyokong stilus S-Pen Fold Edition yang sama dan masih perlu disimpan dalam satu kerangka khas yang dijual secara berasingan. Sayang sekali ia masih tidak boleh disimpan pada tubuh peranti. Bercakap mengenainya, peranti juga adalah lebih ringan dengan berat hanya 263g berbanding sebelum ini 271g.

Samsung turut masih menggunakan perlindungan air IPX8 pada peranti ini dan untuk sekuriti ia masih lagi menggunakan pengimbas cap jari di sisi melalui butang kuasa. Samsung Galaxy Z Fold4 menjalankan sistem operasi One UI 4.1.1 yang dibina berasaskan Android 12L. Perisian baharu ini turut memberikan sokongan dermaga serta menggunakan ciri drag & drop untuk buka dua aplikasi serentak.

Harga jualan peranti ini untuk pasaran Malaysia adalah RM6,799 untuk 12/256 GB, RM7,299 untuk 12/512 GB dan RM8,299 untuk 12/1TB. Samsung Malaysia akan menawarkan pilihan warna Graygreen, Beige, Phantom Black dan Burgundy. Pra-tempahan akan bermula hari ini 10 Ogos sehingga 1 September. Mereka yang menempah dalam tempoh ini akan menerima baucar bernilai RM650, kerangka pelindung Standing Cover dengan S-Pen serta perlindungan Samsung Care+ untuk 1 tahun jaminan tambahan dan perlindungan skrin.

** Gunakan kod AMGZF4VIP apabila membeli Galaxy Z Flip4 atau Galaxy Z Fold4 dan dapatkan Super Fast Wireless Charger Duo yang bernilai RM 369 termasuk kabel dan pengecas 15W PD.

komen


© Amanz / 2022 Kami