Siri Samsung Galaxy Watch5 Dilancarkan Tanpa Bezel Berputar – Harga Bermula RM1099

Diterbitkan pada Ogos 10, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Siri Samsung Galaxy Watch 5 turut diperkenalkan secara rasminya di acara Samsung Galaxy Unpacked 2022. Ia ditawarkan dalam dua model berbeza yang merangkumi Galaxy Watch5 dan Galaxy Watch5 Pro dengan reka bentuk diperbaharui dan peningkatan fungsi yang menarik. Kaca Sapphire Crystal digunakan untuk pelindungan lebih baik, tetapi tiada bezel berputar yang disertakan pada kedua-dua model.

Kita mulakan dahulu dengan Samsung Galaxy Watch5 yang ditawarkan dalam saiz 40mm dengan skrin 1.2-inci (369 x 369 piksel) dan 44mm dengan saiz 1.4-inci (450 X 450 piksel). Skrin adalah sejenis Super AMOLED dengan paparan berwarna dan sokongan sesentuh. Turut melengkapinya adalah dua butang fizikal pada sisi kanan dengan tali sejenis silikon ringkas.

Jam tangan ini dijana oleh cip Exynos W920 dengan memori 1.5GB RAM dan storan 16GB. Bateri yang digunakan pula diiklankan 13% lebih besar menerusi kapasiti 284mAh (40mm) dan 410mAh (44mm). Sistem pengecasan yang disokong juga diiklankan 60% lebih pantas berbanding generasi sebelumnya.

Samsung Galaxy Watch5 Pro pula merupakan model dengan saiz tubuh lebih besar iaitu 45mm dengan skrin Super AMOLED berwarna dan sokongan sesentuh. Ia turut dipadankan dengan cip Exynos W920 dengan memori 1.5GB RAM dan storan 16GB. Bateri 590mAh yang disertakan turut menyokong sistem pengecasan pantas yang diiklankan 60% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.

Kesemua model dilengkapi sensor pengimbas nadi, oksigen dalam darah, tekanan darah, tahap stress, NFC dan GPS. Penjejakan pelbagai jenis senaman secara automatik dan menjejak pola tidur yang lengkap dengan pengesanan dengkur turut disertakan. Seterusnya, kedua-duanya turut direka dengan ketahanan 5ATM + IP68 yang membuatkannya kalis percikan air dan menjalankan OneUI 4.5 berasaskan WearOS 3.5.

Ciri baharu yang diperkenalkan adalah kebolehan menjejak aktiviti luar dalam masa nyata menerusi ciri Route Workout. Ia membolehkan pengguna melihat ketepatan maklumat peta, dalam masa sama fungsi Track back pula bagi mengelak risiko tersesat sewaktu melakukan aktiviti dan pulang dengan selamat. Fungsi-fungsi ini bagaimanapun hanya tersedia pada model Samsung Galaxy Watch5 Pro sahaja.

Untuk harga, Samsung Galaxy Watch5 (bluetooth) ditawarkan pada harga bermula RM1,099 dengan warna Graphite, Pink Gold dan Silver untuk variasi 40mm. Sementara itu, variasi 44mm (bluetooth) pula tersedia dalam warna Graphite, Sapphire dan Silver dijual pada RM1,199. Kemudian, Samsung Galaxy Watch5 Pro pula dijual bermula RM1,899 dengan warna Black Titanium dan Gray Titanium. Sesi pratempah telah dibuka bermula hari ini menerusi laman rasmi Samsung Malaysia.

Gunakan kod AMGZF4VIP apabila membeli Galaxy Watch5 atau Galaxy Buds2 Pro bagi mendapatkan pengecas 15W PD yang bernilai RM 59.

komen


© Amanz / 2022 Kami