Pada hari ini, Samsung bukan sahaja melancarkan Galaxy Fold4 tetapi turut hadir dengan peranti generasi baharu Samsung Galaxy Z Flip4. Beberapa perkara telah ditambah pada peranti untuk memberikan pengguna pengalaman menggunakan peranti dengan skrin boleh-lipat bersaiz kompak lebih menarik.

Skrin peranti ini menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan teknologi Infinity Flex bersaiz 6.7-inci. Resolusi skrin adalah FHD+ 2640 x 1080, menyokong kadar segar semula adaptif 1Hz-120Hz dan bezel juga adalah lebih nipis untuk penggunaan skrin yang lebih imersif. Skrin di luar pula adalah 1.9-inci Super AMOLED Display dengan resolusi 260 x 512. Saiz keseluruhan peranti juga adalah lebih kompak dan kecil.

Z Flip4 juga dijana dengan cip pemprosesan Android paling berkuasa di pasaran iaitu Snapdragon 8+ Gen 1 dan dipadankan dengan memori 8GB RAM dengan sokongan memori maya RAM Plus sehingga 8GB RAM. Storan dalaman peranti adalah 128GB, 256GB dan buat kali pertama ada pilihan 512GB. Bateri juga lebih besar dengan kapasiti 3700mAh dan akhirnya menyokong pengecasan pantas 25W Super Fast Charging.

Kamera peranti masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera iaitu 12+12 Megapixel f/1.8+f/2.2. Tetapi dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 Samsung menjanjikan kualiti lebih baik iaitu boleh mengeluarkan hasil yang 65% lebih terang. Kamera swafoto pula adalah 10 Megapixel f/2.4 melalui skrin berlubang.

Perlindungan air IPX8 turut dikekalkan, tetapi peranti ini tiada sokongan untuk stilus S-Pen. Untuk sistem operasi, Z Flip4 menjalankan One UI 4.1.1 berasaskan Android 12 dengan beberapa ciri baharu seperti FlexCam yang dihasilkan bersama-sama dengan Meta untuk sokongan lebih baik pada Facebook, WhatsApp dan Instagram.
Untuk keselamatan, peranti ini juga masih kekal dengan pengimbas cap jari pada sisi melalui butang kuasa. Rekaan peranti selain lebih kompak, ia juga adalah lebih rata secara keseluruhan menjadikan peranti ini lebih sedap untuk dipandang.

Harga jualan peranti ini untuk pasaran Malaysia adalah RM4099 untuk 8/128 GB, RM4299 untuk 8/256 GB, RM4899 untuk 8GB/1TB dan RM4599 untuk Bespoke Edition (8/256GB). Samsung Malaysia akan menawarkan pilihan warna Bora Purple, Biru, Pink Gold, Graphite atau Bespoke Edition yang membolehkan pengguna memilih warna kegemaran tersendiri. Pra-tempahan akan bermula hari ini 10 Ogos sehingga 1 September. Mereka yang menempah dalam tempoh ini akan menerima baucar bernilai RM450, kerangka pelindung Flap Leather serta perlindungan Samsung Care+ untuk 1 tahun jaminan tambahan dan perlindungan skrin.
** Gunakan kod AMGZF4VIP apabila membeli Galaxy Z Flip4 atau Galaxy Z Fold4 dan dapatkan Super Fast Wireless Charger Duo yang bernilai RM 369 termasuk kabel dan pengecas 15W PD.