Cari @ Amanz

Terdapat banyak gajet di pasaran yang mempunyai panel solat terbina untuk kemudahan pengguna menggunanya ketika di luar, seperti aktiviti lasak, berkhemah dan sebagainya. Gajet ini biasanya adalah power bank, speaker dan turut pernah ada set fon kepala dengan solar terbina pada bahagian cekak kepala.

Terkini Urbanista telah hadir dengan TWS baharu yang diberi nama Phoenix, ia adalah TWS dengan panel solar terbina pada pod pengecasan.

Setiap fon telinga masih perlu dimasukkan ke dalam pod pengecasan, kerana ia tidak menyokong solar. Pod pengecasan ini menggunakan panel solar Powerfoyle yang dihasilkan oleh Exeger. Melalui solar ini, bateri pod pengecasan boleh bertahan lebih lama jika didedahkan kepada cahaya matahari. Phoenix boleh digunakan secara berterusan selama 8 jam dan 32 jam dengan pod pengecasan. Tetapi setiap satu jam ia terdedah pada cahaya matahari, bateri akan bertahan satu jam tambahan.

Phoenix turut hadir dengan ciri pembatalan hingar aktif, mod tembus bunyi, dan boleh digunakan pada dua peranti serentak. Untuk kawalan tambahan, tangkai menyokong kawalan sentuhan dan ia boleh diubah melalui aplikasi khas Urbanista. Dalam aplikasi ini turut terbina ciri penalaan. Phoenix turut dilindungi dengan perlindungan IPX4 untuk kalis percikan seperti peluh, menyokong Bluetooth 5.2 dan mempunyai port sambungan USB-C.

Saiz pod pengecasan agak besar, untuk ciri solar ini. Phoenix juga adalah pertama dalam dunia yang menggunakan panel solar Powerfoyle pada TWS. Harga jualan adalah $149 iaitu sekitar RM663.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd