Laman BetaProfiles Berhenti Beroperasi Selepas Menerima Amaran Apple

Diterbitkan pada Ogos 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Setiap kali Apple mengumumkan sistem operasi atau perisian baharu, pasti ramai tidak sabar untuk menggunakannya. Tetapi untuk peringkat awal, hanya pembangun sahaja dibenarkan untuk mencuba agar mereka boleh uji aplikasi yang sedang dibangunkan.

Versi percubaan umum hanya akan ditawarkan sedikit lewat. Untuk memasang versi beta seperti iOS, iPadOS, macOS, tvOS, watchOS atau audioOS, pengguna perlu memasang Beta Profile pada peranti untuk menerima kemaskini. Profile ini walau bagaimanapun memerlukan akaun pembangun di mana ada bayaran dikenakan.

Hanya Profile beta umum sahaja percuma. Tetapi ada yang tidak bertanggungjawab mendapatkan akses Profile pembangun ini dan edarkan kepada orang ramai secara percuma. Antara laman web yang popular adalah BetaProfiles.com. Baru-baru ini mereka telah mengumumkan di Twitter yang laman web mereka akan berhenti beroperasi kerana tidak ingin dikenakan tindakan oleh Apple. Ini memberi petanda yang mereka telah pun diberi amaran oleh Apple.

Ketika artikel ini ditulis, laman BetaProfiles tidak lagi boleh diakses. Selain mereka, laman web popular lain adalah IPSW.dev yang turut tidak lagi boleh diakses. Laman web yang dilihat masih aktif adalah Apple Firmwares, tidak pasti sama ada mereka berani atau masih belum menerima amaran Apple. Tetapi laporan daripada MacRumors menyatakan pasukan peguam Apple telah menghubungi Twitter untuk memadam mana-mana ciapan yang menyertakan pautan ke laman-laman web muat turun Beta Profile ini.

Akan datang, mereka yang ingin mencuba versi beta iOS dan sistem operasi Apple lain haruslah tunggu versi umum diedarkan.

komen


© Amanz / 2022 Kami