Kubota Glasses Direka Untuk Merawat Rabun Jauh Tanpa Pembedahan

Diterbitkan pada Ogos 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Saya terdiri dalam kumpulan manusia yang rabun jauh. Sudah lebih dekad saya hidup dengan cermin mata. Kos untuk pembedahan Lasik adalah terlalu mahal maka sehingga kini saya tidak mampu untuk merawat isu rabun jauh. Di Jepun, Kubota Glasses telah dicipta dengan ia dikatakan mampu merawat rabun jauh tanpa sebarang pembedahan.

Kubota Glasses menyasarkan individu yang mempunyai isu myopia aksial dimana rabun berlaku kerana bentuk mata yang menjadi bujur. Kerana mata dipaksa untuk memfokus kepada objek lebih dekat dengan kerap, tekanan menyebabkan mata menjadi semakin bujur sehingga menyebabkan mata menjadi semakin rabun jauh.

Jadi bagaimana Kubota Glasses merawat myopia aksial? Lampu dipancarkan ke retina pemakai. Ini akan membuatkan objek dekat kelihatan kabur dan memaksa lensa mata untuk memfokus objek jauh. Ini menurut pencipta Kubota Glasses, akan membuatkan myopia aksial dirawat secara perlahan-lahan tanpa sebarang pembedahan.

Pada waktu ini Kubota Glasses telah dibenarkan untuk digunakan sebagai peralatan perubatan di Taiwan dan Amerika Syarikat. Bagi yang mengharapkan ia alternatif lebih murah kepada Lasik, sepasang kaca mata ini dijual pada harga 770,000 Yen (~RM25,727) di Jepun.

komen


© Amanz / 2022 Kami