Lumina Desk Adalah Meja Dengan Skrin OLED 24-Inci Terbina

Diterbitkan pada Ogos 11, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Terdapat banyak pilihan meja untuk digunakan sebagai meja bekerja. Antara yang ergonomik adalah meja yang ketinggiannya boleh dilaras. Tetapi tidak banyak meja yang mudah untuk melakukan multi-tugasan, kecuali jika meja itu cukup luas dan lebar.

Untuk yang lebih unik, Lumina Desk telah dilancarkan. Ia adalah meja dengan skrin OLED 24-inci terus terbina. Tetapi skrin OLED pada permukaan meja Lumina Desk ini bukan untuk digunakan sebagai monitor, sebaliknya mempunyai sistem operasi tersendiri yang digelar sebagai Lumina OS yang mempunyai banyak aplikasi untuk digunakan ketika bekerja atau melakukan tugasan lain.

Lumina OS hadir dengan aplikasi seperti Google Calendar, iMessage, Slack, Google News, Twitter, Spotify, jam, paparan cuaca, senarai tugasan dan banyak lagi. Malah, Lumina turut membenarkan sesiapa hadir dengan aplikasi tersendiri untuk diintegrasikan pada meja. Setiap aplikasi ini akan dipaparkan dalam bentuk cards dan menggunakan susun atur grid seperti Windows 8.

Meja ini turut mempunyai sokongan pengecasan nirwayar, menyertakan banyak palam kuasa, serta membenarkan pengguna menyorokkan kabel-kabel dan wayar dari berselerak. Meja ini turut boleh dilaras ketinggiannya secara manual atau secara berjadual. Ini memudahkan pelbagai kerja dilakukan dalam masa berbeza mengikut kesesuaian pengguna.

Lebar meja adalah 75cm x panjang 150 cm x tinggi 75-150 cm. Skrin pada meja menggunakan lapisan anti cap jari, menyokong kadar segar semula 60Hz dan kecerahan mencapai 1200 nits. Bahan binaan meja adalah daripada aluminium 6063 dan besi tahan karat, sementara permukaan meja menggunakan kaca anti-silau.

Meja ini menyertakan 6x palam kuasa, 6x port USB-C 30W, serta mempunyai pad pengecasan nirwayar bersaiz 20-inci x 20-inci yang menyokong pengecasan mencapai 100W. Meja ini juga menyokong macOS dan Windows, bermakna perisian untuk mengawal Lumina OS hanya ada pada dua sistem operasi ini sahaja.

Buat masa ini, harga jualan masih belum diumumkan kerana masih berada dalam fasa pembangunan. Tetapi ia dijangka akan dijual pada harga premium. Meja ini pada hemat saya adalah meja idaman untuk semua peminat teknologi, kerana ianya semua dalam satu.

komen


© Amanz / 2022 Kami