Carian
Xiaomi Buds 4 Pro Kini Rasmi Dengan Spatial Audio Dan Rekaan Lebih Menarik
August 11, 2022 Fahim Zahar

Hari ini, Xiaomi telah melancarkan set fon telinga nirwayar sebenar baharu mereka iaitu Xiaomi Buds 4 Pro. Ia adalah TWS mercu mereka untuk tahun ini yang akan bersaing dengan TWS seperti Samsung Galaxy Buds Pro 2.

Xiaomi Buds 4 Pro dilihat hadir dengan rekaan serba baharu, di mana ia menggunakan rekaan fon telinga dengan tangkai yang lebih pendek. Bentuk keseluruhan masih nampak lebih kurang sama, tetapi ia mempunyai rekaan yang lebih premium. Pada pod pengecasan pula, penutup dilihat menjadi lebih besar sehingga sekitar separuh pada bahagian hadapannya.

Kemasan juga adalah jenis berkilat seperti Huawei FreeBuds Pro. Untuk Xiaomi Buds 4 Pro ini, ia masih menyertakan sokongan pembatalan hingar aktif yang mana kini boleh mencapai 48db. Selain itu sokongan spatial audio turut dikekalkan untuk audio yang lebih imersif. TWS ini turut menyokong kualiti audio 360 darjah dan menggunakan pemacu audio 11mm dengan Hi-Res Audio Wireless.

Sambungan dengan masa pendam rendah mencapai 59ms ditawarkan, sistem ANC juga adalah jenis pintar yang boleh menentukan bila ia patut diaktifkan dan bila ia akan dilaras pada tahap yang tinggi. Untuk bateri pula, TWS ini akan bertahan sehingga 36 jam lamanya. Untuk perlindungan, Xiaomi dilihat menggunakan IP54 untuk kalis debu dan percikan air.

Buat pertama kali juga, Xiaomi memperkenalkan aplikasi khusus iaitu Xiaomi Headphones App untuk digunakan mengawal Buds 4 Pro ini. Selama ini, TWS dan aksesori audio mereka hanya boleh dikawal dengan peranti berasaskan MIUI sahaja.

Harga jualan adalah RMB 999 iaitu sekitar RM659 sahaja. Ia adalah TWS mercu pada harga mampu milik berbanding pesaing. Buat masa ini jualan hanya untuk pasaran China sahaja dan tidak pasti sama ada ia akan menembusi pasaran global ataupun tidak.

Komen