Seperti yang saya katakan sebelum ini, minggu ini adalah minggu peranti dengan skrin boleh-lipat. Semalam Samsung telah melancarkan peranti Galaxy Z Fold4 dan Z Flip4 mereka, siang tadi Motorola pula dengan Razr 2022 dan malam ini Xiaomi hadir dengan generasi baharu untuk Xiaomi MIX Fold.
Peranti ini adalah Xiaomi MIX Fold 2 yang hadir dengan dalam bersaiz 8.02-inci LTPO 2.0, OLED Eco2 dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula tinggi 120Hz. Skrin dalam ini turut menggunakan panel kaca ultra nipis UTG dan mempunyai kamera di bawah skrin seperti Galaxy Fold4.

Untuk skrin luar, Xiaomi menggunakan panel Samsung E5 AMOLED bersaiz 6.56-inci dengan resolusi FHD+ 2520 × 1080p. Ia turut menyokong kadar segar semula tinggi 120Hz. Skrin di luar adalah panel OLED, membolehkan penggunaan bezel nipis dan penggunaan seakan peranti biasa dengan skrin 21:9.

Xiaomi MIX Fold 2 dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori mencapai 12GB RAM dan storan dalaman sehingga 1TB. Xiaomi turut menjanjikan peranti ini tidak akan ada masalah pemanasan berlaku ketika menjalankan aplikasi berat.

Untuk kamera ia menggunakan konfigurasi tri-kamera yang menggabungkan sensor 50MP f/.8 Sony IMX766, OIS + 13MP f/2.4 sudut ultra lebar + sensor 2x telefoto f/2.6. Kamera juga ditala oleh Leica untuk sokongan penuras, tera air dan profil Leica Classic dan Leica Vivid. Untuk video, Xiaomi MIX Fold 2 turut menyokong rakaman Dolby Vision. Kamera swatoto adalah 20MP yang diletakkan pada skrin berlubang di luar dan tiada kamera swafoto pada skrin dalam.

Peranti ini hadir dengan bateri 4500mAh dan menyokong pengecasan pantas 67W. Xiaomi MIX Fold 2 turut menggunakan rekaan yang nipis iaitu 5.4mm bila dibuka dan 11.2mm apabila ditutup. Ia juga adalah antara paling ringan untuk peranti format sebegini. Bercakap lagi mengenai tubuh peranti, engsel yang digunakan adalah jenis titisan air seperti pada Oppo Find N. Ini bermakna, skrin Xiaomi MIX Fold 2 tidak akan ada kesan lipatan yang begitu ketara.

Untuk audio, Xiaomi mengekalkan speaker stereo dengan kerjasama Harmon/Kardon mereka. Peranti ini menjalankan MIUI Fold 13 iaitu sistem operasi baharu MIUI yang dibina khusus untuk peranti dengan skrin boleh-lipat. Ia dibina berasaskan Android 12 dan menyokong banyak aplikasi pihak ketiga untuk penggunaan multi-tugasan dan banyak lagi.

Harga jualan Xiaomi MIX Fold 2 adalah
- RMB 8999 (~RM5936) – untuk 12/256 GB
- RMB 9999 (~RM6596) – untuk 12/512 GB
- RMB 11999 (~RM7915) – untuk 12/1000 GB