Cari @ Amanz

Hari ini, selain memperkenalkan Xiaomi Mix Fold 2 dan Xiaomi Buds 4 Pro – Xiaomi turut melancarkan peranti boleh pakai baharu mereka iaitu Xiaomi Watch S1 Pro. Ia adakah jam tangan pintar premium baharu mereka yang ingin dipadankan bersama dengan Mix Fold 2.

Jam ini menggunakan skrin 1.47-inci OLED bentuk bulat dengan saiz 46mm serta dilindungi dengan kaca nilam. Dengan rekaan jam baharu ini, Xiaomi turut memperkenalkan beberapa muka jam baharu untuk tema premium yang mengambil inspirasi daripada jam mekanikal mewah. Jam ini turut mempunyai tombol berputar seakan Apple Watch untuk kawalan tambahan.

Jam ini dijana dengan cip pemprosesan 12nm yang tidak didedahkan, tetapi mereka mendakwa prestasi yang hebat serta ketahanan bateri mencapai 14 hari. Jam ini turut menyokong pengecasan pantas secara nirwayar dengan 10 minit pengecasan menjanjikan ketahanan sehingga 2 hari.

Untuk sistem operasi, Xiaomi Watch S1 Pro menggunakan MIUI Watch baharu yang bukan seperti Mi Watch sebelum ini iaitu Wear OS. Tetapi MIUI Watch ini banyak mengambil inspirasi Wear OS untuk kawalan dan sokongan aplikasi.

Jam ini menawarkan akses kepada gedung aplikasi Xiaomi, mempunyai NFC, GPS, menyokong lebih 100 mod sukan, sensor suhu kulit, pengimbas nadi, bacaan SpO2 dan pemantauan tidur. Jam ini turut boleh memainkan muzik dan menyokong pembantu digital Xiao Ai.

Harga jualan Xiaomi Watch S1 Pro adalah RMB 1,499 iaitu sekitar RM989. Beberapa pilihan tali jam turut ditawarkan untuk disesuaikan dengan pakaian pengguna dan muka jam premium yang ingin digunakan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd