Samsung Galaxy A23 telah dilancarkan sebelum ini dengan dua varisi berbeza. Ia merangkumi model dengan sokongan 4G menerusi cip Snapdragon 680, seterusnya varian 5G pula dilengkapi Snapdragon 695. Kedua-duanya bagaimanapun berkongsi reka bentuk dan sejumlah besar perkakasan lain yang sama.
Terkini muncul pula desas-desus mengenai kewujudan Samsung Galaxy A23e. Ia dijangka hadir dengan rekaan lebih kompak menerusi skrin sebesar 5.8-inci. Panel hadapan adalah sejenis bertakuk kecil dengan kewujudan dagu agak tebal. Seterusnya sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio.
Samsung turut dijangka menggunakan pengimbas cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa. Sebagai tambahan, bicu audio 3.5 turut disertakan pada bahagian atas. Sementara itu, bahagian bawah pula menempatkan port sambungan USB-C dan pembesar suara mono.
Samsung Galaxy A23e juga akan mempunyai kamera utama tunggal di belakang. Seterusnya, apa yang menjadi persoalan adalah tidak dapat dipastikan sama ada ia kelak bakal dilancarkan sebagai peranti 5G atau sebaliknya. Pada masa sama, tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran yang dikongsi setakat ini.
- Sumber – Pricebaba