Tetikus Gaming Terpantas Razer DeathAdder V3 Pro Dilancarkan Dengan Harga RM749

Diterbitkan pada Ogos 12, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Razer hari ini telah melancarkan tetikus gaming baharu mereka iaitu Razer DeathAdder V3 Pro. DeathAdder adalah antara tetikus gaming mereka yang terkenal dan versi baharu ini hadir dengan ciri, fungsi dan prestasi yang dipertingkatkan.

Razer DeathAdder V3 Pro hadir dengan rekaan ergonomik untuk keselesaan para pemain permainan video. Ia mempunyai sisi melengkung, butang dengan kesan taktil yang baik, serta dengan berat 63 gram untuk warna putih dan 64 gram untuk warna hitam agar mudah dikendalikan. Ia juga mempunyai roda tatal dan butang yang mudah diakses agar jari pengguna tidak lenguh atau sakit.

Tetikus ini hadir dengan sensor optikal Razer Focus Pro 30K dengan kejituan resolusi mencapai 99.8%. Sensor ini turut dikuasakan oleh sistem kecerdasan buatan untuk sokongan Smart Tracking, Motion Sync, Asymmetric Cut-off dan menggunakan butang dengan suis Razer Optical Mouse Switches Gen-3 untuk kemampuan dwi-klik tanpa sela masa dan ketahanan mencapai 90 juta kali klik.

Razer turut mendakwa yang tetikus baharu mereka ini menggunakan teknologi sambungan nirwayar terpantas. Mereka bangunkan teknologi ini sendiri dan memberikan tetikus ini kadar respons 1000Hz dengan sela serendah 1ms. Tetapi dengan sambungan kepada dongel nirwayar baharu mereka iaitu Razer HyperPolling Wireless Dongle ia boleh mengubah kadar respons tetikus kepada 4000Hz dengan sela masa 0.25ms.

Tetikus ini turut boleh dikawal dengan perisian untuk mengubah fungsi setiap butang. Bateri pula boleh bertahan sehingga 90 jam dengan sekali pengecasan dan kabel yang disertakan adalah jenis USB-C dengan penggunaan Speedflex untuk pergerakan yang lancar.

Harga jualan Razer DeathAdder V3 Pro adalah RM749 dan dongel nirwayar Razer HyperPolling dijual pada harga RM149. Razer turut akan menjual set berkas, tetapi hanya eksklusif untuk pra-tempahan melalui laman web mereka sahaja.

komen


© Amanz / 2022 Kami