Carian
Peranti Skrin Boleh-Lipat – Samsung Kekal Berdiri, Pesaing Sudah Mula Berlari
August 12, 2022 Effi Saharudin

Minggu ini ini adalah yang paling menarik dalam sejarah peranti skrin boleh-lipat. Empat model baharu kelas mercu dilancarkan dalam masa 24 jam. Galaxy Z Fip4 dan Galaxy Z Fold4 dari Samsung, Razr 2022 dari Motorola dan MIX Fold2 dari Samsung. Kesemuanya memenuhi keperluan pengguna yang ingin peranti skrin-boleh lipat berkuasa dalam dua saiz yang berbeza.

Pasca pelancaran kami sedikit kecewa dengan dua peranti yang dilancarkan oleh Samsung kerana rekaan yang hampir sama, isu kesan lipatan pada skrin yang masih wujud dan tiada ciri tambahan baharu yang membuatkannya berbeza dengan model terdahulu.

Jika dibandingkan dengan peranti skrin boleh-lipat generasi pertama mereka perbezaan pada rekaan hanyalah pada skrin luar Fold yang kini lebih besar, penggunaan bezel lebih kecil, skrin sekunder lebih besar pada Flip dan kemampuan kalis air. Setiap tahun iterasi kecil sahaja diberikan.

Selama empat tahun dominasi Samsung juga tidak dicabar dengan 74% pasaran dipegang mereka pada suku lalu. Huawei pada awalnya menunjukkan potensi untuk bersaing tetapi sekatan ekonomi yang dikenakan kini menyebabkan kemampuan mereka dicantas teruk. Huawei Mate Xs 2 dan P50 Pocket adalah dua peranti yang dari segi perkakasan adalah mantap tetapi perisian yang digunakan malangnya tidak serasi dengan keperluan pengguna global. Tambah tragis kedua-duanya juga sekadar menyokong rangkaian 4G dalam dunia 5G.

Oppo melancarkan Find N yang mungkin adalah rekaan paling logikal untuk sebuah peranti skrin-boleh lipat moden. Tetapi ia tidak ditawarkan ke pasaran global. Honor Magic V, Xiaomi Mi MIX Fold, Huawei Mate X 2 dan Vivo X Fold meminjam rekaan Galaxy Z Fold3 tetapi sekali lagi tidak ditawarkan ke luar China secara rasmi.

Ini mungkin adalah sebab utama mereka cukup Samsung selesa untuk menawarkan produk yang pelanduk dua serupa untuk empat tahun berturut-turut. Kami faham ini dilakukan kerana pasaran peranti skrin boleh-lipat adalah terlalu kecil di peringkat awal. Hanya tahun lalu jualan peranti dalam rekaan ini mencecah 10 juta unit dalam sejarah Samsung. Maka perubahan kecil yang dilakukan selepas menerima input dari pengguna awal yang secara langsung menjadi tikus belanda T20 bagi pihak Samsung.

Tetapi dengan pengeluar lain mula mengeluarkan peranti yang lebih berinovatif, Samsung tidak lagi boleh mengitar semula rekaan yang sama tahun hadapan. Motorola Razr 2022 menggunakan skrin 144Hz, kamera lebih besar dan skrin luaran yang lebih berguna berbanding pada Z Flip4.

Sementara itu MIX Fold 2 menggunakan rekaan yang berbeza sekali dengan MI MIX Fold. Dalam masa satu genersi sahaja Xiaomi sudah berubah ke rekan baharu yang lebih inovatif, nipis, dan paling penting sekali praktikal kerana skrin luaran MIX Fold 2 mempunyai nisbah skrin 21:9 seperti telefon pintar candybar biasa.

Oppo juga akan melancarkan peranti skrin boleh-lipat pengganti kepada Find N dan pesaing kepada Z Flip4 tahun ini. Google sudah memulakan ujian untuk peranti yang mungkin menggunakan Pixel Fold dengan rekaan seakan Find N. Jangan juga terlupa bahawa Apple juga sudah mula menguji prototaip iPhone/iPad boleh-lipat mereka sejak 2019.

Dominasi yang dinikmati Samsung sekarang akan dicabar dalam masa terdekat. Mereka tidak lagi mampu untuk kekal berdiri dan mengambil keputusan selamat melakukan iterasi kecil saban tahun. Jika mereka berdegil untuk kekal berdiri di tempat yang sama sedangkan pesaing sudah mula berlari, pegangan besar mereka dalam pasaran peranti skrin boleh-lipat yang besar sekarang akan menyusut dengan mendadak.

Ini bukan senario mustahil. Pernah suatu ketika Nokia dan HTC adalah dua pengeluar dengan pasaran telefon mudah alih terbesar dunia. Mereka kekal berdiri sedangkan Samsung sudah mula berlari dengan siri Galaxy S mereka. Samsung kini pengeluar telefon pintar terbesar dunia sementara Nokia dan HTC hanya diingati orang-orang tua (macam kami).

Komen