Carian
Razer Akan Tutup Gedung Tema Razer Phone Pada 24 Ogos Ini
August 12, 2022 Fahim Zahar

Siapa ingat lagi yang Razer pernah hadir dengan telefon pintar gaming yang diberi nama Razer Phone. Peranti ini hanya bertahan sehingga dua generasi iaitu Razer Phone dan Razer Phone 2.

Peranti ini dilancarkan dan menjadi popular sebelum pengeluar peranti lain hadir dengan telefon pintar gaming tersendiri. Razer membeli Nextbit dan menggunakan rekaan seakan Nextbit Robin untuk peranti Razer Phone iaitu segi empat dengan keliling yang rata.

Disebabkan Razer tidak lagi akan meneruskan pembangunan Razer Phone, dengan model ketiga hanya sempat ke fasa prototaip sahaja sekitar tahun lepas – Razer kini akan menutup perkhidmatan yang ditawarkan untuk peranti mereka.

Perkhidmatan ini adalah Razer Theme Store, iaitu gedung tema untuk pengguna melakukan kustomasi pada Razer Phone. Dengan memilih satu tema, keseluruhan antaramuka dalam peranti akan berubah mengikut apa yang pengguna pilih.

Gedung tema ini akan berhenti beroperasi pada 24 Ogos akan datang. Razer turut memberitahu hanya tema yang sedia dipakai sekarang oleh pengguna kekal selamat, lain-lain tidak boleh disimpan. Tetapi untuk gambar latar, Razer mempunyai laman web khas iaitu razer.com/wallpapers yang turut menawarkan beberapa gambar berdasarkan tema dari gedung tema mereka.

Komen