Carian
Apple Dan Meta Pernah Berbincang Menawarkan Langganan Facebook Tanpa Iklan Dan Perkongsian Keuntungan Pembayaran Iklan
August 13, 2022 Effi Saharudin

Semalam muncul laporan Meta masih lagi menjejak tabiat melayari web pengguna tanpa kebenaran menerusi pelayar web terbina pada Instagram, Facebook dan Messenger versi iOS. Ini membolehkan mereka terus menjejak aktiviti walaupun pengguna mengaktifkan ciri anti penjejakan pengiklanan App Tracking Tranparency (ATT).

Apple penjejakan iklan

Hari ini muncul berita yang lebih mengejutkan dari WSJ yang melaporkan Apple dan Meta pernah berbincang untuk menawarkan langganan Facebook tanpa sebarang iklan serta berkongsi potongan pembayaran iklan menggunakan ciri pembelian dalam aplikasi (IAP). Perbincangan dilakukan antara 2016-2019.

Apple akan mengambil potongan antara 15-30% untuk setiap bayaran langganan Facebook bebas iklan yang dilakukan oleh pengguna. Sementara itu Apple juga akan mengambil potongan 30% dari bayaran yang dilakukan pengguna untuk mempromosikan status menerusi ciri boost.

Tetapi Apple kemudian mengambil keputusan untuk tidak meneruskan idea ini sebelum memperkenalkan ATT pada April tahun lalu untuk menghalang sebarang bentuk penjejakan dan meningkatkan privasi pengguna peranti mereka. Ini menjejaskan pendapatan Facebook sehingga berbilion dollar dan mereka mendakwa tindakan Apple akan mendatangkan kesan buruk kepada peniaga yang bergantung kepada pengiklanan Facebook.

Komen