Dengan perkembangan aeroangkasa, salah satu perkara yang kita saksikan kebelakangan ini adalah lambakan pelancaran satelit ke angkasa. Ini terutamanya satelit orbit rendah, oleh syarikat seperti SpaceX, Amazon, OneWeb dan sebagainya.
Dengan kehadiran banyak objek satelit di angkasa ini, salah satu perkara yang masih tidak diselesaikan adalah perhubungan dan komunikasi antara rangkaian satelit ini. DARPA dilihat ingin mengatasi perkara ini melalui Space-BACN (Space Based Adaptive Communications Node).
Kini, DARPA sedang membentuk sekumpulan pengkaji dan pembangun dalam membangunkan Space-BACN, yang ingin membentuk “internet” untuk satelit pada orbit rendah, membolehkan ia berkomunikasi antara satu sama lain.
Dengan membentuk piawaian ini, ia dijangka akan memudahkan lagi proses komunikasi antara satelit, selain membolehkan implementasi pancaran internet berasaskan satelit lebih baik kepada syarikat satelit dan juga pengguna.
Untuk peringkat permulaan fasa pertama ini, DARPA mengatakan ia akan mengambil masa sekitar 14 bulan dalam merekabentuk berkaitan teknikal, termasuk antaramuka antara sistem. Kita mungkin mendengar lanjut berkaitan projek ini dalam masa setahun lebih lagi.