Pada minggu lepas, salah satu perkara yang mencuri perhatian adalah apabila CEO Telegram mengatakan Apple menghalang kemaskini aplikasi Telegram pada iOS. Namun, selepas melalui beberapa fasa, kemaskini berkenaan telah pun diperkenalkan kepada umum sejak penghujung minggu ini.
Daripada apa yang dikongsikan oleh CEO Telegram, kemaskini ini dihalang Apple disebabkan oleh penggunaan emoji beranimasi baharu, dinamakan Telemoji. Apple telah meminta membuang ciri berkenaan sebelum menawarkan kemaskini aplikasi tersebut.
CEO Telegram mengatakan Telemoji berpeluang membawa dimensi baharu dalam arena ekosistem emoji, dengan kualiti dan resolusi tinggi, disamping menyokong animasi.
Walaupun tidak dinyatakan, berkemungkinan Apple menghalangnya kerana melanggar hak cipta atau rekaan emoji milik mereka. Setiap syarikat penyedia mempunyai rekaan emoji berbeza mengikut hak cipta masing-masing, dan Microsoft sendiri baru-baru ini telah mula menawarkan emoji mereka dalam bentuk sumber-terbuka.