Cari @ Amanz

Selain daripada China, Rusia juga dilihat sebuah lagi negara yang dikenakan sekatan ekonomi kerana peperangan yang sedang berlaku diantaranya dengan Ukraine. Diantara sekatan yang dilakukan keatasnya termasuklah syarikat-syarikat luar negara tidak dibenarkan menjual-beli dengan entiti-entiti bisnes negara tersebut.

Terkini, salah sebuah syarikat teknologi Rusia, BitBlaze mengumumkan bahawa mereka telah membina sebuah komputer riba pra-produksi yang dinamakan BitBlaze Titan BM15, iaitu sebuah komputer riba produktiviti pejabat yang menggunakan komponen cip pemprosesan keluaran Rusia yang dinamakan Baikal-M.

Buat masa ini, spesifikasi yang diketahui mengenai komputer riba ini termasuklah penggunaan paparan skrin bersaiz 15.6 inci, penggunaan cip pemprosesan Baikal-M1, penggunaan memori DDR4 sebanyak 16GB dan penggunaan storan SSD M.2 dengan pilihan storan bersaiz 256GB sehingga 512GB.

Dari segi pilihan palam, ia dilihat mempunyai empat palam USB A, satu palam USB yang menggunakan teknologi USB 3.0, satu palam HDMI dan satu palam audio 3.5mm. Ia juga dilihat hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi dan Bluetooth.

Yang menjadi misteri ialah penggunaan cip pemprosesan Balkan-M ini. Ia dibangunkan menggunakan teras cip ARM Cortex A57 yang cukup usang sekali dengan kelajuan sekitar 1.5GHz sahaja. Dimana cip-cip pemprosesan moden sekarang dilihat menggunakan proses 5nm ataupun 7nm untuk dibangunkan, cip Balkan-M1 ini dibangunkan oleh TSMC menggunakan proses 28nm mereka.

Satu lagi perkara yang menjadi tanda-tanya ialah bagaimana BitBlaze bercadang untuk membangunkan cip-cip ini kerana Rusia tidak lagi boleh bekerjasama dengan TSMC untuk membangunkan lebih banyak cip-cip pemprosesan ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd