Semenjak wabak COVID-19 memperlihatkan cabaran yang besar khususnya apabila berkaitan isu rantaian bekalan, negara tersebut bukan sahaja dilihat melaburkan wang yang banyak untuk memastikan bekalan komponen teknologi tempatan mencukupi, tetapi juga dilihat lebih paranoid berkaitan dengan teknologi yang dikongsi dengan negara-negara yang lain.
Ini dapat dilihat sepanjang dua tahun yang lalu melalui sekatan ekonomi keatas China dan Rusia, dengan syarikat-syarikat seperti Huawei terkesan paling teruk dimana mereka tidak lagi boleh menggunakan sejumlah besar teknologi Google pada peranti-peranti pintar mereka, manakala jualan dan penggunaan kelengkapan rangkaian telekomunikasi mereka diharamkan di Amerika Syarikat dan sejumlah negara-negara Eropah.
Terkini, kerajaan Amerika Syarikat telah mengetatkan eksport untuk sejumlah teknologi yang dibangunkan di negara tersebut, termasuklah cip semikonduktor terbaru dan juga komponen enjin turbin gas termasuklah sumber asli seperti galium oksida dan berlian.
Menurut jurucakap kerajaan, ini adalah kerana komponen-komponen yang menggunakan bahan-bahan ini boleh beroperasi dalam julat voltan dan suhu yang lebih tinggi dari biasa, dan boleh dimanfaatkan untuk tujuan ketenteraan selain daripada pembangunan peranti pengguna dan juga untuk penjanaan ekonomi.
Selain daripada itu, Amerika Syarikat turut dilihat mengetatkan eksport dan penggunaan kelengkapan membangunkan teknologi-teknologi baru seperti perisian, kelengkapan tambahan, pembangunan teknologi semikonduktor dan sebagainya.