Peranti dengan skrin boleh lipat ada peminat tersendiri. Proses pembuatan juga perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan keseluruhan peranti mempunyai kualiti yang baik. Setakat ini, Samsung Galaxy Fold4, Galaxy Z Flip4, Moto Rarz 2022 dan Xiaomi MIX Fold 2 adalah antara peranti terkini yang baru sahaja diumumkan tempoh hari.
Terkini terdapat laporan yang menyatakan Huawei Mate X3 dikhabarkan dalam fasa pembangunan. Mengikut jangkaan awal, beberapa penambah-baikan akan dilakukan pada peranti. Misalnya, tubuh peranti akan lebih nipis dan ringan berbanding pendahulunya. Ia juga akan mempunyai ketahanan lebih baik bagi mengelakkan peranti cepat rosak kerana masalah skrin, jatuh atau pecah. Bukan itu sahaja, pelindungan skrin turut dinaik-taraf bagi membolehkan kesan lipatan dikurangkan dengan ketara. Kemudian, sokongan engsel juga akan lebih baik untuk penggunaan lebih optimum.
Huawei dijangka memperkenalkan peranti dengan skrin boleh lipat baharu ini pada Disember 2022. Namun, tiada tarikh pelancaran khusus yang diketahui setakat ini. Dalam pada itu, aksesori audio Huawei Freebuds 5 juga besar kemungkinan diumumkan pada acara yang sama kelak.