Cari @ Amanz

Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba gaming berkuasa dengan rekaan yang mempunyai kemasan premium, Illegear hari ini telah tampil dengan komputer riba gaming terbaru mereka yang dinamakan Illegear Sapphire.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 17 inci dengan resolusi 2560×1600 yang mempunyai nisbah paparan 16:10 yang lebih tinggi, kadar segar semula 240Hz dan boleh memaparkan 100 peratus gamut warna sRGB dengan nilai kecerahan 350nit dan sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA G-SYNC.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 9 6900HX ataupun Intel Core i9-12900H dengan pilihan memori sehingga 64GB dan dua slot storan SSD NVMe PCIe 4.0 bagi anda yang bukan sahaja mahukan storan yang banyak, tetapi juga yang terpantas di pasaran sekarang.

Illegear Sapphire ini juga tampil dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti ataupun NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti dimana kedua-dua kad grafik ini dilihat cukup berkuasa untuk menggerakkan mana-mana permainan komputer moden pada resolusi 1440p keatas pada tetapan dan kadar segar semula yang tinggi.

Satu lagi ciri menarik yang tampil pada komputer riba in ialah ia menggunakan papan kekunci dengan suis mekanikal Cherry MX Brown berprofil rendah. Secara lazimnya penggunaan papan kekunci mekanikal akan memberikan pengguna pengalaman menaip yang lebih selesa apabila dibandingkan dengan papan kekunci komputer riba biasa.

Pra-tempahan untuk komputer riba Illegear Sapphire ini sudah dibuka dengan tanda harga permulaan RM9310 melalui laman web mereka. Spesifikasi ini termasuklah komponen CPU AMD Ryzen 9 6900HX dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd