Siri Huawei Mate memfokuskan kepada keupayaan peranti yang menyeluruh, ia merangkumi keupayaan perkakasan dalaman lebih baik di samping keupayaan kamera canggih. Bercakap lebih lanjut mengenainya, Huawei bakal hadir dengan model kemas kini buat siri berkenaan yang besar kemungkinan tiba sekitar bulan September.
Mengikut jangkaan awal, besar kemungkinan terdapat tiga model berbeza yang bakal diumumkan. Salah satu daripadanya adalah Huawei Mate 50 yang dipercayai menggunakan cip Snapdragon 888 tetapi hanya menyokong rangkaian 4G. Hal ini nampaknya berbeza dengan spekulasi sebelum ini yang mengatakan Mate 50 akan dilengkapi cip Kirin 9000S yang masih belum diumumkan setakat ini.
Selain daripada itu, Huawei Mate 50 turut dijangka menggunakan panel OLED FHD+ (2400 X 1225 piksel) dengan saiz skrin di antara 6.28-inci atau 6.38-inci. Skrin adalah keluaran BOE yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz. Seterusnya, memori sebesar 8GB RAM dan storan dalaman mencapai 256GB turut disertakan.
Sistem tri-kamera turut digunakan dengan sensor utama 50MP. Huawei juga dijangka menyertakan penjenamaan pengimejan tersendiri XMAGE untuk kemampuan fotografinya – sebagai ganti kepada Leica sebelum ini. Tidak ketinggalan, peranti turut menjalan Harmony OS 3.0 yang merupakan sistem kendiri terbaru Huawei.
Buat masa ini, Huawei masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan ini. Dengan itu adalah lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura semata.