Realme Malaysia kini berkongsi perancangan untuk hadir dengan beberapa produk baharu lagi. Ia merangkumi telefon pintar Realme GT Neo 3T, tablet Realme Pad X dan jam tangan Realme Watch 3. Kesemua produk ini akan diperkenalkan secara rasminya pada 23 Ogos 2022 bersempena meraikan kempen 828 Realme Fan.

Kesemua peranti ini telah diumumkan terlebih dahulu di beberapa pasaran luar. Namun begitu, masih tidak dapat dipastikan sama ada penawaran perkakasan dalaman untuk kesemua peranti adalah sama seumpama dengan variasi di beberapa pasaran luar atau sebaliknya.

Tetapi sekiranya sama, Realme Pad X akan menggunakan skrin 10.95-inci LCD WUXGA+, dijana Snapdragon 695 5G, kamera utama 12MP, kamera swafoto 8MP, empat pembesar suara yang ditala Dolby Atmos, dan bateri 8,340mAh yang menyokong pengecasan 33W.

Sementara itu, Realme GT Neo 3T akan dilengkapi Snapdragon 870, skrin berteknologi AMOLED 120Hz, sistem tri-kamera 64MP + 8MP + 2MP, sistem audio stereo dan bateri 5000mAh dengan sistem pengecasan 80W. Kemudian, Realme Watch 3 pula dilengkapi skrin berkotak 1.8-inci, pelbagai ciri penjejakan kesihatan, menyokong lebih 110 mod sukan, kemampuan melakukan panggilan telefon, kalis air IP68 dan bateri 340mAh yang mampu beroperasi hingga 7 hari.

Seperti biasa, maklumat lebih lanjut mengenai peranti-peranti ini akan didedahkan selepas ia dilancarkan secara rasmi kelak. Ini termasuklah harga jualan rasminya yang akan kami kemaskini kemudian untuk perkongsian bersama.