Doogee merupakan pengeluar yang sering menghasilkan telefon pintar dengan kemampuan tahan lasak dan hentakan. Terbaru, siri Doogee S89 telah diumumkan sebagai model kemas kini buat siri Doogee S88 sebelum ini. Terdapat dua variasi model yang diperkenalkan iaitu Doogee S89 dan Doogee S89 Pro.


Kedua-duanya menampilkan reka bentuk unik bersama pencahayaan RGB pada bahagian belakang. Dikenali sebagai Breathing Light, warna dan corak pencahayaan ini boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna. Warna ini juga boleh digunakan untuk amaran, panggilan telefon masuk dan arahan suara.

Untuk spesifikasi, kedua-duanya hadir dengan skrin 6.3-inci LCD FHD+ Dot Display, dijana cip MediaTek Helio P90, memori 8GB RAM, storan dalaman 256GB dan bateri berkapasiti besar 12,000mAh. Kesemua komponen ini turut dimasukkan ke dalam kerangka yang melepasi piawaian IP68, IP69K serta MIL STD-810G.

Peranti bagaimanapun menyokong sistem pengecasan dengan kuasa output yang berbeza. Di mana, Doogee S89 Pro menyokong pengecasan 65W yang boleh mengecas penuh peranti sekitar 2 jam. Sementara itu, Doogee S89 pula dilengkapi sistem pengecasan 33W. Sistem tri-kamera turut digunakan dengan tetapan 64MP + 20MP + 8MP dan kamera swafoto 16MP pada Doogee S89 Pro. Manakala, Doogee S89 pula menggunakan 48MP + 20MP + 8MP bersama kamera swafoto 20MP.

Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan Android 12, NFC, sokongan pengecasan berbalik, butang tersesuai dan sebagainya.
- Sumber
- Sumber – Doogee