Siri Vivo V25 bakal dilancarkan tidak lama lagi sekaligus meneruskan tradiri rangkaian berkenaan yang memfokuskan terhadap kemampuan fotografi dan gaya hidup moden. Terdapat beberapa model berbeza yang bakal diumumkan dan salah satu daripadanya adalah Vivo V25.
Mengulas lebih lanjut mengenainya, beberapa spesifikasi utama peranti kini telah ditemui tersenarai menerusi laman Vivo rasmi Thailand. Ia menunjukkan peranti akan menggunakan cip MediaTek Dimensity 900. Ia merupakan cip kelas pertengahan yang berteknologi 6nm dengan teknik penghasilan yang sama seumpama cip mercu Dimensity 1200.
Seterusnya, Vivo V25 5G akan dilengkapi sistem tri-kamera dengan sensor utama 64MP. Turut melengkapi kamera ini adalah OIS terbina yang sangat membantu dalam penghasilan gambar yang tajam dan video stabil. Dalam masa sama, peranti turut memberi fokus terhadap fotografi malam dan potret lebih baik.
Kamera swafoto 50MP turut disertakan dan diletakkan pada takuk kecil di skrin hadapan. Tidak ketinggalan, sistem pengecasan pantas 44W dan kebolehan RAM Maya sehingga 8GB turut disokong pada peranti ini. Ini sahaja maklumat mengenai peranti yang diketahui setakat ini.