Siri komputer riba gaming Lenovo Legion boleh dikatakan menggabungkan rekaan elegan dan komponen dalaman berprestasi tinggi yang membolehkannya dimanfaatkan oleh bukan sahaja mereka yang gemar bermain permainan komputer, tetapi juga mereka yang bekerja dalam industri kreatif profesional.

Lenovo Malaysia hari ini telah mula membawa masuk siri komputer riba gaming Lenovo Legion 5 dan Legion 5 Pro yang dikemaskini dengan cip pemprosesan AMD dan Intel yang terbaru dan digabungkan bersama-sama pilihan grafik berkuasa keluaran NVIDIA.
Bermula dengan siri Lenovo Legion 5 Pro, siri komputer riba ini terdiri daripada Lenovo Legion 5 Pro dan Lenovo Legion 5i Pro yang tampil dengan paparan skrin bersaiz 16 inci dengan resolusi WQHD+ (2960×1600) dengan kadar segar semula 240Hz.

Ia juga mempunyai nilai kecerahan 500nit dan menyokong teknologi paparan Dolby Vision bersama-sama dengan NVIDIA GSYNC untuk pengalaman gaming dan juga tontonan video yang tiada tandingan. Dengan sokongan teknologi DisplayHDR 400 pula, paparan ini juga boleh dimanfaatkan untuk menonton kandungan video HDR tanpa masalah.
Komputer-komputer riba ini dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan AMD dan Intel, termasuklah AMD Ryzen 7 6800H dan Intel Core i7-12700H, memori DDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB bergantung kepada model yang dipilih.

Dari segi penawaran kad grafik, Lenovo Legion 5 Pro dilihat tampil dengan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070Ti, manakala Lenovo Legion 5 dilihat hadir dengan penawaran NVIDIA GeForce RTX 3050 sehingga NVIDIA GeForce RTX 3060.
Komputer riba ini juga tampil dengan fungsi-fungsi unik kepada Lenovo seperti papan kekunci Legion TrueStrike yang hadir dengan rekaan kekunci yang selesa, bersama-sama dengan sistem pencahayaan yang unik dan juga sistem penyejukan Legion ColdFront 4.0 yang memastikan bahawa komputer riba gaming ini kekal beroperasi pada tahap optimum.

Kesemua model Lenovo Legion 5 dan 5i bersama-sama dengan model Pro juga dilihat hadir dengan sokongan untuk sambungan WiFi 6E, dan untuk model Lenovo Legion 5i, ia hadir dengan sokongan untuk sambungan Thunderbolt 4 terbaru keluaran Intel.
Lenovo Malaysia mengatakan bahawa komputer riba Legion 5, Legion 5i, Legion 5 Pro dan Legion 5i Pro dengan cip-cip pemprosesan terbaru AMD dan Intel sudahpun tiba di pasaran tempatan dengan harga permulaan berikut:
- Lenovo Legion 5 – RM5299
- Lenovo Legion 5i – RM5999
- Lenovo Legion 5 Pro – RM7399
- Lenovo Legion 5i Pro – RM8499
Dari hari ini sehingga 31 Ogos 2022, setiap pembelian siri komputer riba Lenovo Legion 5 dan 5i akan menerima barangan Legion bernilai RM322, manakala setiap pembelian komputer riba Lenovo Legion 5 Pro dan 5i Pro akan menerima barangan Legion bernilai RM492. Pembelian kedua-dua siri komputer riba ini juga akan hadir dengan langganan Microsoft PC Game Pass selama tiga bulan.