Cari @ Amanz

Sejak diperkenalkan sekitar November tahun lalu, ciri pelekat ‘Add yours’ tidak dapat dinafikan menjadi trend sehinggalah ke hari ini. Ia merupakan pelekat interaktif yang boleh digunakan untuk mencipta rantaian kandungan berbentuk gambar atau video bagi membolehkan pengguna berinteraksi secara umum di antara satu sama lain.

Pada awalnya pelekat berkenaan hanya tersedia untuk Instagram Stories. Namun kini, ia turut ditawarkan pada kandungan Reels di Instagram dan Facebook menerusi kemas kini baharu. Ini bagi membolehkan para pengguna mencipta kandungan atau media untuk dikongsi dalam talian dengan elemen lebih menarik serta kreatif.

Sama seperti sebelumnya, ia membolehkan pengguna lain untuk memberi respon dengan menambah kandungan Reels masing-masing mengikut topik yang sedang dibincangkan. Sebaik sahaja ramai pengguna yang memberi respon, Instagram dan Facebook akan menerbitkan satu halaman khusus yang dipenuhi dengan respon kepada pelekat berkenaan. Tidak ketinggalan, ia juga akan memaparkan siapa yang memulakan trend pada pelekat berkenaan.

Seterusnya, kemas kini baharu yang turut diperkenalkan adalah pengguna kini boleh merentas siar kandungan Reels di Instagram terus ke Facebook. Ini memerlukan pengguna menghubungkan akaun menghubungkan Instagram dengan Facebook terlebih dahulu. Bagi pengguna yang mungkin tidak sedar, ciri ini juga sebelum ini hanya terhad pada perkongsian gambar sahaja dan bukannya Reels.

Tidak ketinggalan, kemas kini baharu turut membolehkan pengguna Reels mempunyai lebih banyak akses kepada analisis yang lebih terperinci. Misalnya seperti purata masa tontonan, jumlah masa tontonan dan banyak lagi. Ia direka bagi membantu para pencipta kandungan mengenal pasti corak tontonan untuk setiap kandungan yang dimuat-naik.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd