Cari @ Amanz

Adidas RPT-02 SOL dilancarkan hari ini dengan ia hadir dengan ciri unik boleh cas semula menggunakan kuasa solar. Dengan bateri yang disertakan, Adidas berkata fon kepala ini boleh digunakan sehingga 80 jam tanpa henti.

Panel solar keluaran Powerfoyle diletakkan pada bahagian angkup kepala dan ia hampir tidak kelihatan kerana bukan dari jenis panel solar yang biasa dilihat. Sambungan pada peranti dilakukan secara bluetooth tanpa sokongan sambungan berwayar. Fon kepala ini adalah dari jenis terbuka klasik dengan bahagian span menutup pemacu audio.

Terdapat aplikasi yang akan menunjukkan tahap bateri serta tahap kekuatan pengecasan menerusi panel solar. Bateri boleh dicas semula menggunakan cahaya matahari dan juga lampu. Untuk pengecasan lebih pantas, terdapat sambungan secara USB-C.

Selain itu fon kepala ini turut diperbuat daripada bahan plastik kitar semula. Akhir sekali ia boleh digunakan untuk bersukan kerana melepasi tahap kalis air IPX4. Sepasang Adidas RPT-02 SOL dijual pada harga $229 (~RM1023) sepasang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd