Cari @ Amanz

Pelancar ColorOS 13 telah diumumkan secara global pada hari ini dengan perubahan baharu yang dibina berasaskan Android 13 serta beberapa ciri tambahan lain. Ia mempunyai penampilan lebih kemas dan ceria melalui antaramuka yang direka semula bersama pelbagai penambahbaikan kepada sistem sedia ada. Sehubungan itu, kami di Amanz diberi akses awal untuk mencuba sendiri pelancar ColorOS 13 ini pada Oppo Find X5 Pro bagi melihat sendiri apa perubahan yang ada. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut.


Antara muka Skrin Utama

ColorOS 13 menawarkan rekaan antara muka serba baharu bersama susunan yang cukup teratur. Sekali imbas ia tampak sama seperti sebelumnya tetapi ikon sebenarnya kini lebih mudah dikenali menerusi penggunaan dimensi saiz lebih besar dan warna lebih ceria. Ia bagi membolehkan pengalaman visual lebih menyeronokkan boleh dirasai. Penampilannya juga lebih bersih berbanding versi terdahulu.

Seterusnya, sokongan fail yang boleh dibesarkan turut disokong sekaligus bantu mempercepatkan proses membuka aplikasi. Ia boleh dilakukan secara terus daripada papan pemuka utama tanpa keperluan untuk membuka folder. Caranya mudah klik folder sehingga keluar satu pop-up, seterusnya klik pada ‘Enlarge’ untuk menukar saiz. Folder berkenaan turut boleh di leret ke halaman utama lain bagi menjadikannya lebih mudah untuk diakses.

Kemudian, teknik susunan huruf berserta teks juga telah ditambah baik bagi menyediakan pengalaman bacaan lebih jelas. Dalam masa sama, reka letak gaya kad turut telah ditambah dengan saiz yang berbeza, kemudiannya mengelaskan setiap ciri dan fungsi mengikut jenis kandungan.

Fungsi Always-On-Display turut ditambah-baik dengan kebolehan mengawal beberapa aplikasi dengan mudah sewaktu skrin ditutup. Misalnya seperti kawalan audio di Spotify atau semak status penghantaran makanan. Bagaimanapun, cubaan kami mendapati hanya sokongan Spotify yang sudah tersedia, sementara itu aplikasi penghantaran makanan pula masih belum disokong buat masa ini.

Terdapat juga sokongan Always-On-Display dengan tetapan yang menarik seperti siri animasi berasaskan haiwan dan alam semula jadi dinamakan sebagai Homeland yang turut memaparkan perubahan semasa. Seterusnya, Bitmoji Always-On Display dengan kerjasama Snapchat yang membolehkan pengguna membuat avatar 3D pada skrin utama. Bagaimanapun, proses log masuk akaun Bitmoji diperlukan untuk mengakses fungsi ini. Kemudian, Insight Always-On Display pula akan memaparkan purata kekerapan peranti digunakan secara menyeluruh.

Pada kami, penggunaan ciri Insight Always-On Display adalah sangat digalakkan kerana ia dapat bantu mendorong pengguna menikmati kehidupan harian jauh lebih baik berbanding terus menerus menghadap telefon pintar sahaja.


Panel Kawalan

ColourOS 13 juga dilengkapi panel kawalan serba baharu dan tampak berbeza berbanding sebelum ini. Ia direka semula bagi membolehkan pengguna mengakses setiap fungsi yang kerap digunakan dengan mudah. Misalnya seperti fungsi Wi-Fi dan rangkaian data mudah-alih yang kini diletakkan dalam ruangan berasingan pada bahagian atas. Kalau perasan, kedua-duanya telah menggantikan bar untuk Media Output yang terdapat pada pelancar sebelum ini. Dalam masa sama, fungsi-fungsi pada ruangan ini boleh diubah mengikut keperluan masing-masing menerusi tetapan “Edit tiles” yang ditempatkan pada simbol tiga titik.

Bersebelahan dengannya pula, Oppo telah menambah menambah tetapan main balik dan laras audio bagi memudahkan kawalan muzik yang dimainkan. Satu pop-up yang memaparkan pemain audio sepenuhnya akan keluar apabila pengguna menyentuh pada kawalan muzik berkenaan. Bukan itu sahaja, kemas kini baharu turut memperlihatkan ruangan notifikasi kini mempunyai latar belakang lebih menonjol. Lebih menarik, ia turut berfungsi dengan baik dalam mod landskap dan potret.


Multi-Screen Connect

Pada dasarnya, ini adalah kesinambungan kepada ciri PC Connect yang diperkenalkan pada ColorOS 12 sebelum ini. Fungsi Multi-Screen Connect membolehkan kepelbagaian kerja dilaksanakan dengan satu paparan. Dalam erti kata lain, ia membolehkan kelancaran kolaborasi antara telefon pintar dan komputer riba/tablet, sekaligus membolehkan pengguna mengawal kedua-dua peranti daripada satu skrin.

Pelbagai fail seperti gambar, audio, dokumen, video dan lain-lain turut boleh dikongsi dengan mudah di antara dua peranti yang disambungkan secara drag & drop. Selain itu, ia juga menawarkan kebolehan memaparkan tiga tetingkap dengan kandungan berbeza daripada telefon pintar secara serentak pada komputer riba. Pengguna juga boleh salin dan tampal isi kandungan antara kedua-dua peranti tanpa keperluan sebarang aplikasi tambahan. Bagaimanapun, sambungan WiFi yang mencapai 5GHz adalah diperlukan bagi menjamin kelancaran proses integrasi antara peranti.

Dengan Android 13, kebolehan penstriman aplikasi merentas peranti turut disokong. Ia berfungsi dengan baik merentasi komputer riba Windows dan Chromebook. Selain itu, fungsi Fast Pair juga telah dipertingkatkan bagi memudahkan proses tambatan aksesori audio bluetooth dengan lebih cepat. Dalam masa sama, ia turut mempunyai kemampuan pertukaran audio antara dua peranti yang boleh dilakukan dengan lancar. Misalnya, pengguna boleh memainkan video pada Chromebook dan mendengar audio melalui aksesori audio. Sekiranya terdapat panggilan masuk di telefon pintar, pengguna boleh terus menjawabnya menggunakan aksesori audio tadi tanpa tambatan semula.


Keselamatan & Privasi

Pada dasarnya, privasi adalah hak peribadi yang kita tidak mahu kongsi atau dedah kepada orang lain. Sehubungan itu, Oppo kini menyediakan ciri yang dipanggil Auto Pixelate menerusi kemas kini ColorOS 13. Ia adalah ciri yang akan mengaburkan avatar atau nama panggilan dalam sesuatu tangkap layar skrin pada ruangan sembang secara automatik. Ia juga sangat mudah untuk digunakan, malahan turut menyokong beberapa aplikasi pemesejan seperti WhatsApp dan Messsenger. Sebagai contoh apabila sesuatu tangkapan layar dibuat, maka akan terdapat beberapa pilihan suntingan tambahan termasuklah Auto Pixelate. Pengguna hanya perlu klik ciri berkenaan, kemudian leret di bahagian yang mahu dikaburkan dan selesai.

Seterusnya, fungsi Private Safe dibina dengan Algoritma AES (Advanced Encryption Standard) turut digunakan dengan lebih meluas pada fail peribadi bagi meningkatkan tahap keselamatan peranti. Melaluinya beberapa proses tetapan perlu dilakukan yang merangkumi tetapan kata laluan. Kami juga mendapati halaman berkenaan tidak membenarkan sebarang tangkap layar dibuat ekoran terdapatnya maklumat peribadi.

Tidak ketinggalan, pelancar ini turut diintegrasikan dengan ciri privasi baharu pada Android 13 pelindungan secara menyeluruh. Misalnya, sistem akan memadam sejarah papan klip (clipboard, tempat salin & tampal tersimpan) secara automatik untuk melindungi maklumat rahsia yang digunakan untuk kebenaran pada sumber tertentu. Selain itu, fungsi Nearby Wi-Fi pula membolehkan aplikasi menyambung ke peranti berdekatan melalui Wi-Fi tanpa memerlukan kebenaran lokasi.


Perubahan Lain

Ciri Omoji telah diperkenalkan oleh Oppo pertama kalinya pada ColorOS 12. Ia menawarkan fungsi seumpama Memoji, Mimoji, Animoji dan lain-lain animasi avatar 3D yang menggunakan pengecaman wajah. Ciri Omoji pada ColorOS 13 telah dikemas kini dengan reka bentuk wajah, jenis solekan, status sosial dan hobi yang lebih pelbagai. Ia juga boleh digunakan sebagai avatar pada kontak kenalan untuk pengalaman komunikasi lebih menyeronokkan. Menurut Oppo, ciri Omoji bagaimanapun hanya boleh diakses pada peranti yang dilengkapi memori 8GB RAM dan ke atas.

Meeting Assistant merupakan ciri yang sangat berguna untuk pelaksanaan mesyuarat secara dalam talian yang lancar dan berkesan. Melaluinya, terdapat algoritma terbina yang boleh mengenal pasti sama ada terdapat aplikasi mesyuarat yang digunakan atau sebaliknya. Seterusnya, ia juga akan memastikan sokongan untuk pengalaman rangkaian yang baik. Bukan itu sahaja, ia juga mampu meringkaskan sebarang pemberitahuan dan notifikasi masuk pada peranti bagi mengelakkan gangguan sewaktu mesyuarat.

Kid Space pada ColorOS 13 dikemaskini dengan pelindungan yang lebih menyuluruh. Ia memanfaatkan sepenuhnya sistem terbina pada peranti bagi menjadikannya cukup selamat dan sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak. Lebih menariknya, fungsi eye comfort mode akan diaktifkan secara automatik apabila ciri ini digunakan. Bukan itu sahaja, beberapa ciri menarik lain turut disertakan bersama-samanya.

Misalnya seperti peringatan posisi duduk di mana sistem akan mengeluarkan peringatan untuk meminta pengguna membetulkan postur duduk yang lebih selesa. Seterusnya, peringatan jarak melihat bagi memastikan anak-anak berada pada tahap penglihatan yang sepatutnya. Akhir sekali, peringatan cahaya ambien yang meminta anak-anak menggunakan peranti dalam pencahayaan terang untuk mengelakkan kerosakan pada penglihatan.


Latar Masa Kemaskini

Latar masa kemas kini rasmi juga telah dikongsi oleh pihak Oppo. Bermula bulan Ogos ini dengan dua peranti pertama adalah Find X5 dan Find X5 Pro. Kemudian, senarai penuh untuk peranti yang disokong pada bulan-bulan seterusnya adalah seperti lampiran yang kami sertakan di bawah:

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd