Sudah menjadi kebiasaan buat para pengeluar untuk hadir dengan beberapa pilihan produk dalam sesebuah acara pelancaran. Misalnya, Oppo yang telah berkongsi perancangan untuk penawaran produk baharu buat pengguna di Malaysia tidak lama lagi.
Nampaknya, ia tidak terhad pada telefon pintar malahan aksesori audio baharu turut bakal diumumkan menerusi Oppo Enco Buds2. Tarikh pelancaran khusus masih kekal misteri, namun kita boleh menjangkakan ia bakal didedahkan dalam masa terdekat.

Oppo Enco Buds2 telah dilancarkan di Singapura terlebih dahulu. Sekiranya pasaran Malaysia menerima unit yang sama, fon telinga ini akan mempunyai sepasang pemandu audio sebesar 10mm dengan pembatalan hingar berasaskan AI dan kemasan sejenis titanium. Ia kemudiannya dilengkapi teknologi Enco Live Stereo Effect untuk pengalaman audio lebih imersif.

Bateri yang disertakan mampu beroperasi sehingga 28 jam dengan bantuan pengecas. Dengan pengecasan selama 10 minit membolehkan masa main-balik mencapai 1 jam lamanya. Lain-lain spesifikasi termasuklah sokongan Bluetooth 5.2, mod pendam rendah 94ms, kawalan sesentuh menyeluruh, kalis air IPX4 dan aplikasi Hey Melody diperlukan untuk kawalan lebih baik.
- Sumber
- Sumber – Oppo Malaysia