Cari @ Amanz

Oppo kini telah mengumumkan kemas kini pelancar baharu berasaskan Android untuk telefon pintar mereka menerusi pengenalan ColorOS 13. Dapat dilihat, antara muka telah direka semula dan sistem sedia ada turut dipertingkatkan untuk penggunaan keseluruhan yang lebih baik.

ColorOS 13 menawarkan rekaan antara muka serba baharu dikenali sebagai Aquamorphic Design bersama susunan lebih teratur. Ia minimalis dengan elemen yang di inspirasi daripada alam sekitar dan sangat mirip dengan versi sebelum ini. Namun, ikon mempunyai dimensi saiz lebih besar bersama elemen warna ceria dan terang untuk pengalaman visual menyeronokkan.

Pemilihan warna juga dikatakan mampu memberikan penampilan antara muka yang lebih jelas. Seterusnya, kemas kini baharu turut menampilkan susunan huruf yang ditambahbaik bagi menyampaikan pengalaman visual yang ringkas dan selesa. Kesemua ciri dan fungsi juga tampak lebih tersusun dan dikelaskan mengikut jenis kandungan. Seterusnya, sokongan fail yang boleh dibesarkan turut disokong sekaligus bantu mempercepatkan proses membuka aplikasi.

ColorOS 13 turut menampilkan konsep baharu dengan pilihan lebih banyak untuk tetapan peribadi. Misalnya, fungsi Always-On-Display (AOD) kini lebih baik dengan beberapa ciri baharu seperti kebolehan mengawal beberapa aplikasi sewaktu skrin ditutup – misalnya pemain muzik Spotify dan aplikasi pemesanan makanan.

Selain itu, terdapat juga tetapan dengan siri animasi berasaskan haiwan dan alam semula jadi dinamakan sebagai Homeland yang turut memaparkan perubahan semasa. Seterusnya, Smart Always-On Display dengan kerjasama Bitmoji yang membolehkan pengguna membuat avatar 3D berdasarkan aktiviti harian pada skrin utama.

Sokongan Dynamic Computing Engine turut diperkenalkan dengan membawakan dua penambahbaikan utama kepada ColorOS 13 – ini termasuk peningkatan hayat bateri dan keupayaan untuk memastikan lebih banyak aplikasi boleh dibuka di latar belakang.

Kemudian, terdapat juga ciri dinamakan Multi-Screen Connect yang dianggap kesinambungan daripada PC Connect sebelum ini. Melaluinya, ia menyediakan akses pantas untuk kelancaran kolaborasi antara telefon pintar dan komputer riba/tablet. Dalam masa sama, pengguna turut boleh mengawal kedua-dua peranti daripada satu skrin.

ColorOS 13 turut menerima perlindungan keselamatan yang dipertingkatkan. Terdapat ciri dinamakan Auto Pixelate untuk mengaburkan maklumat penting pada tangkapan layar skrin. Seterusnya, fungsi Private Safe yang dibina dengan Algoritma AES (Advanced Encryption Standard) turut digunakan dengan meluas pada fail peribadi. Bukan itu sahaja, ciri Android 13 turut diintegrasi pada pelancar baharu ini untuk pelindungan secara menyeluruh.

Misalnya, sistem akan memadam sejarah papan klip (clipboard, tempat salin & tampal tersimpan) secara automatik untuk melindungi maklumat rahsia yang digunakan untuk kebenaran pada sumber tertentu. Selain itu, fungsi Nearby Wi-Fi pula membolehkan aplikasi menyambung ke peranti berdekatan melalui Wi-Fi tanpa memerlukan kebenaran lokasi.

Kemas kini baharu lain yang turut disertakan adalah Meeting Assistant merupakan ciri yang sangat berguna untuk pelaksanaan mesyuarat secara dalam talian yang lancar dan berkesan. Setakat ini, Oppo Find X5 dan Find X5 Pro merupakan antara peranti terawal yang menyokongnya.

Dalam pada itu, Oppo juga telah melancarkan versi pembangun ColorOS berasaskan Android 13 Beta dan terus bekerjasama dengan Google untuk membina ekosistem Android yang lancar. Berikut adalah lampiran latar masa kemas kini :

  • Info
  • Baca – Pandang Pertama ColorOS 13 Berasaskan Android 13
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd