CIMB hari ini memperkenalkan aplikasi generasi baharu mereka, dinamakan CIMB OCTO. Aplikasi ini dilihat akan menjadi pengganti kepada aplikasi CIMBClicks pada masa akan datang, dengan antaramuka yang dikemaskini, serta susunan ciri-ciri yang lebih memudahkan pengguna.

Pada aplikasi ini juga, CIMB menyertakan ciri imbasan QR yang diketengahkan, untuk pembayaran secara QR di kedai-kedai fizikal yang kian popular masa kini.
CIMB OCTO turut memudahkan pengguna melihat baki akaun tanpa perlu melalui pelbagai halaman berbeza, termasuk transaksi perbankan terkini.

CIMB mengatakan ini masih pada versi awal, dan lebih banyak ciri dijangka akan ditambah ke aplikasi dalam masa terdekat. Disamping itu, pengguna juga perlu mengekalkan penggunaan aplikasi CIMBClicks untuk masa ini bagi pengesahan SecureTAC. Aplikasi ini dijangka akan dilancarkan sepenuhnya menjelang pertengahan pertama 2023 kelak.

Buat masa ini, pembaharuan dilakukan pada bahagian aplikasi sahaja. CIMB Octo boleh dimuat-turun pada Android dan iPhone bermula hari ini.