Cari @ Amanz

Bagi yang tidak tahu, Xiaomi di China amat serius dalam produk rumah pintar. Mereka mempunyai banyak barangan elektrik dalam kategori peranti berhubung agar semua barangan dalam rumah boleh dikawal dengan telefon pintar atau dengan arahan suara.

Di Malaysia, ekosistem rumah pintar Xiaomi masih belum meluas – tetapi sudah ada. Hari ini, Xiaomi Malaysia mula membawa masuk barangan dapur pintar mereka iaitu penggoreng kering (air fryer) Xiaomi Mi Smart Air Fryer 3.5L.

Seperti kebanyakan penggoreng kering di pasaran, Xiaomi Mi Smart Air Fryer 3.5L juga tidak memerlukan sebarang minyak untuk menggoreng atau memasak sesuatu. Suhu pada produk ini adalah 40 darjah sehingga 200 darjah untuk memasak pelbagai jenis makanan. Selain memasak, ia turut menyokong penapaian yogurt dan penyahhidratan makanan.

Mi Smart Air Fryer ini seperti namanya, mempunyai ruangan bersaiz 3.5L yang cukup besar untuk menyediakan sajian kepada lebih ramai orang. Pada tubuh peranti, turut mempunyai skrin OLED untuk melihat masa dan suhu. Bercakap mengenai masa, dengan aplikasi Mi Home pengguna boleh menetapkan jadual masakan dan turut boleh mengawal suhu melaluinya.

Dalam aplikasi, Xiaomi turut menyediakan lebih 100 resipi untuk memudahkan lagi pengguna. Harga jualan awal produk ini adalah RM299, tetapi harga pasaran sebenar adalah RM359. Buat masa ini, Xiaomi Malaysia masih belum mengumumkan lagi tarikh jualan untuk penggoreng kering mereka. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd